Usahawan Kosmetik Bergelar Datuk Seri Ditahan Disyaki Terbabit Penyeludupan Dadah Bernilai RM5 Juta

Baru-baru ini, pihak polis telah menahan lima individu termasuk seorang usahawan kosmetik selepas disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah methamphetamine rentas negara dalam dua serbuan di sekitar Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, Serdang, Selangor, Selasa lalu.

Memetik laporan Utusan, pihak polis telah menangkap dua adik beradik lelaki warga tempatan berumur 25 dan 31 tahun menaiki kereta Ford Mustang menerusi serbuan pertama yang dibuat.

Melalui pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis berjaya merampas 120 bungkusan teh cina yang mengandungi bahan disyaki dadah methamphetamine dengan anggaran berat 126.85 kilogram dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM5 juta.

Dalam pada itu, pihak polis juga turut merampas kenderaan Ford Mustang milik suspek yang dianggarkan bernilai RM500,000 yang didaftarkan di atas nama isteri kepada suspek kedua.

Siasatan mendapati suspek berkenaan merupakan seorang usahawan kosmetik di Kelantan dan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’. Walau bagaimanapun, kad perniagaan suspek pertama menyatakan suspek merupakan seorang ‘Datuk Seri’ namun semakan mendapati namanya tiada dalam senarai.

Polis juga berjaya menahan tiga lagi suspek membabitkan dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berumur lingkungan 32 hingga 43 tahun yang berkhidmat sebagai orang tengah bagi urusan jual beli dadah.

“Hasil siasatan, telah membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 32 hingga 43 tahun di kawasan yang sama. Dua warga tempatan terbabit merupakan ahli sindiket ini manakala lelaki warga asing yang pasportnya telah tamat tempoh dipercayai orang tengah bagi urusan jual beli dadah.

“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai 19 rekod jenayah lampau.

“Kita turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV dalam serbuan kedua ini,” kata Datuk Arjunaidi Mohamed, Timbalan Ketua Polis Selangor.

Berdasarkan siasatan, sindiket dadah yang dipercayai beroperasi lebih lima bulan itu dipercayai menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diedarkan ke negara jiran. Setakat ini kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari mulai 11 November hingga 17 November depan dan disisat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca