Usaha Memerangi Penyebaran Berita Palsu, Facebook Lancar Program Semakan Fakta Di Malaysia

Bermula dari sekarang, mana-mana penerbit berita di Malaysia perlu berhati-hati apabila menyiarkan artikel dalam laman Facebook susulan program semakan fakta pihak ketiga oleh pentas sosial itu dengan kerjasama Agence France-Presse (AFP) yang mula dilancarkan pada Rabu.

Program berkenaan bertujuan untuk mengurangkan penyebaran maklumat palsu dalam talian di samping membantu untuk membentuk masyarakat yang lebih bermaklumat.

Pada masa yang sama, ia turut membabitkan perkara seperti semakan semula dan kajian semula ketepatan berita dalam laman Facebook termasuklah gambar dan video.

Menurut Pengurus Rakan Strategik Facebook Malaysia iaitu Alice Budisatrijo, ‘perang’ terhadap kandungan tidak sah dan berita palsu ini merupakan inisiatif yang mereka ambil bagi memastikan pembaca media sosial cuma memperoleh berita yang berkualiti tinggi.

“Apabila kita bercakap mengenai kandungan tidak sah, sudah tentulah antaranya termasuklah berita palsu dan penyebaran maklumat yang salah oleh orang yang berniat tidak baik semasa mereka menggunakan Facebook,” katanya.

“Jelas sekali, kami tidak mahu mereka (pelaku jahat) berbuat sedemikian kerana apabila orang melayari Facebook, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan berita, kami mahu mereka mencari berita yang berwibawa, bermutu tinggi, yang mudah-mudahan turut menghiburkan,” tambahnya lagi.

Segala fakta kandungan Facebook dalam bahasa Inggeris dan Melayu akan disemak oleh AFP berlandaskan kriteria standard bagi menentukan kesahihan sesuatu berita itu.

Tambah Alice, sekiranya berita tersebut disahkan sebagai berita palsu menerusi semakan fakta oleh pihak ketiga, ia akan dipaparkan di bahagian bawah dalam News Feed. Ini akan menyebabkan penyebarannya di media sosial semakin berkurangan.

“Dalam perkongsian berita, adalah penting untuk kita membangunkan produk yang akan membantu penerbit.”

“Kami ada program latihan, berkongsi amalan terbaik dan menerima maklum balas daripada banyak penerbit untuk membangunkan produk yang berguna dan memberi latihan buat wartawan serta orang ramai,” kata Alice.

Facebook kini bekerjasama dengan 54 rakan di seluruh pelosok dunia untuk menjayakan program ini dan ia meliputi kandungan dalam 43 bahasa di 57 negara.

Program ini secara tidak langsung akan membantu untuk mengurangkan penyebaran berita palsu dan kandungan tidak sah di samping menambah baik kandungan yang dipapar kepada para pengguna media sosial.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca