Artikel ini adalah sumbangan pembaca yang hanya mahu dikenali sebagai Hang Malaya.

Pertama sekali, Hang Malaya nak cakap yang Hang Malaya pelik dengan lagu ini, siapa yang keluarkan, pencipta liriknya, siapa komposernya, siapa yang susun muziknya, tiba-tiba keluar guna saluran YouTube Ultras Selangor. Pelik bin ajaib.

Yang Hang Malaya dapat maklumat, melalui sumber yang boleh dipercayai, lagu ini dinyanyikan oleh Nazrin S.O.G. Sebagai bro-bro yang dah lama layan muzik, Hang Malaya boleh katakan penghayatan dan penyampaian oleh Nazrin S.O.G ni, terus ke lubuk hati, syabas bro!

Hang Malaya dah lama nak tulis benda ini, tapi ngam-ngam pula lepas kekalahan Selangor di pusingan ketiga semalam, menentang Felda di kejohanan Piala FA, Hang Malaya terus karang benda ni, untuk jadi bacaan anda semua. Harapnya anda baca dengan hati yang senang. Bismillah.

Pencipta lagu yang tidak diketahui siapakah gerangannya ini, kita gelarkan sebagai Mr. X dalam penulisan Hang Malaya ini, supaya senang nak buat rujukan.

Bagi Hang Malaya, Mr. X ini seorang pengkarya yang fenomena, tetapi mungkin disebabkan kurangnya keyakinan pada diri dia, Mr. X tidak memunculkan diri dan hanya duduk di belakang tabir. Tidak seperti Malique yang kita ketahui nama dan rupanya, Mr. X ini telah menghasilkan sesuatu yang berbaloi untuk didalami daripada aspek artistik tetapi bukan komersial.

Secara luaranya, Mr. X ini boleh dianggap sebagai seorang penyokong Selangor yang meminati lagu-lagu evergreen. Ini dapat dilihat daripada karya Mr. X pada lagu ini.

Pada awal kemunculan lagu ini, kira-kira setahun yang lepas. Perkara yang menarik perhatian Hang Malaya adalah cara Mr. X keluarkan single pertama ini. Dijadikan hadiah kepada penyokong Selangor FA sempena pasukan mereka berjaya mara ke final Piala FA tahun 2018.

Benda ini yang menyebabkan Hang Malaya rasa Mr. X ini adalah penyokong Selangor. Cara Mr. X keluarkan single ini pula dengan menggunakan hype Final Piala FA pada ketika itu, tetapi sayang seribu kali sayang, perlawanan final diadakan ketika perlawanan suku akhir Piala Dunia 2018 dan lebih menyedihkan Selangor FA kalah pada perlawanan tersebut.

Sambutan di stadium kurang, tetapi lagu ini terus mendapat sambutan sehingga ke hari ini. Mungkin segelintir daripada anda semua tak tahu akan lagu ini, tetapi bagi peminat bola sepak Selangor, lagu ini sesuatu. Dengan itu, Hang Malaya tulis artikel tentang maksud dan pemahaman Hang Malaya tentang lagu Kebanggaan ini.

Sebagai seorang pendengar, Hang Malaya mempunyai rasa dan pandangan tersendiri terhadap mesej atau maksud lagu Kebanggaan, dengan bantuan klip video di saluran YouTube Ultras Selangor.

“Memang kami pernah berjanji, bersamamu setia di sini, jika kami yang dahulu pergi, tetaplah jaga kebanggaan ini.”

Awal lagu ini menceritakan tentang perjanjian kepada pasukan Selangor melalui sorakan dan kata-kata semangat yang dilontarkan ketika menyokong. Dapat dilihat daripada bait lirik ini, mood serious dan jujur terserlah, pada masa yang sama penuh ghairah menyokong pasukan Selangor sehinggakan berani berjanji setia.

Mengikut hukum alam, yang hidup pasti akan mati, begitu yang dimaksudkan dalam bait seterusnya lirik ini, lebih kepada pesanan untuk pasukan dan generasi akan datang supaya sentiasa menjaga kebanggaan yang Hang Malaya rasa menuju kepada pasukan Selangor itu sendiri. Hebat, lagu yang biasa pada pandangan mata kasar mempunyai mesej untuk generasi akan datang.

“Berjuang, teruslah berjuang, demi lambang di dada raihlah impian, berikan kami kebanggaan, tunjukkan pada dunia kejayaan.”

Baris-baris seterusnya disusun dengan kemas. Walau bagaimanapun, pada rangkap seterusnya seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan. Jika Kebanggaan itu adalah Selangor, disuruhnya untuk diberikan kepada mereka, untuk tunjukkan pada dunia kejayaan. Di sini Hang Malaya merasakan ada sesuatu tentang lirik lagu ini yang ramai tidak perasan. Ramai yang hanya menyanyikan lagu ini kerana ia menjadi trend tanpa memahami maksud sebenar yang cuba disampaikan.

Setelah Hang Malaya membuat sedikit kajian, maksud lirik ini “Berikan kami kebanggaan, tunjukkan pada dunia kejayaan” berkait rapat dengan usaha yang dilakukan oleh penyokong Selangor menerusi Koperasi Penyokong Bola Sepak Selangor iaitu KOPSEL. Mereka ingin memiliki pasukan ini.

Penerangan yang panjang diperlukan, tetapi Hang Malaya cuba pendekkan. Tidak banyak pasukan bola sepak dalam dunia ini dimiliki penyokong. Bagi mereka, memiliki pasukan ini adalah satu kejayaan yang besar dalam perjuangan yang mereka lakukan selama ini. Nampak pelik, tapi inilah realitinya.

“Selangor engkaulah kebanggaan, Selangor engkaulah kemenangan, kami di sini, kami bersatu hati, menyokongmu, dengan satu jiwa, Selangor kebanggaan kita.”

Dua kali dipanggil kebanggaan dalam rangkap sebelumnya, dalam rangkap ini, Mr. X terus memberitahu yang Selangor itu adalah kebanggaan dan Selangor itu adalah kemenangan. Hang Malaya dapat merasakan mood sedih bercampur bangga untuk rangkap awal lirik ini.

Tanpa mempedulikan pasukan itu menang atau kalah, Selangor itu sendiri adalah kemenangan. Sesuatu yang tak tercapai dek akal. Banyak persoalan bermain di fikiran, tetapi Hang Malaya cuba “be in the mind” of Mr. X, jadinya Hang Malaya tolak semua persoalan itu ke tepi dan “play the game”.

Dalam rangkap ini, segala emosi terjawab, kalau kau sedih sebab Selangor kalah, rangkap ini akan deny emosi sedih kau sebab Selangor itu adalah kebanggaan dan kemenangan. Sort of nak sedapkan hati, tapi ini adalah mind game yang cuba diterapkan pada setiap yang menyanyikan lagu ini, kau sedih ke kau happy ke, Selangor adalah kebanggan dan kemenangan. Hebat!

Akhir sekali, jika mahu pemahaman yang lebih mudah atau perspektif yang berlainan, boleh juga dikatakan lagu ini dimetaforakan daripada ahli-ahli Ultras Selangor yang mahukan pasukan Selangor itu di tangan penyokong Selangor. Bagi mereka, pasukan bola sepak adalah milik penyokongnya, bukan milik syarikat besar ataupun ahli politik, mahupun kerabat diraja.

Bola sepak adalah milik rakyat. Dengan itu, Hang Malaya berpendapat bahwa Mr. X ini adalah salah seorang ahli Ultras Selangor. Cuma persoalannya, seperti sumpah setia yang dibacakan ketika mahu masuk kongsi gelap, adakah bait-bait lirik yang dinyanyikan ini benar-benar dilakukan, atau hanya sekadar trend sebab ramai yang menyanyi sama? Fikir-fikirkan.

Nota: Mungkin ada di antara kita yang mempunyai penerimaan yang berbeza tentang hal ini, hanya Mr. X yang tahu maksud sebenar lagu ini. Semua perbezaan pendapat, kita raikan.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda