Anda pernah disaman oleh pihak universiti kerana tidak meletakkan kereta di tempat yang sepatutnya? Walau bagaimanapun, anda tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayarnya.
Jangan risau, anda boleh menggunakan mentega kacang dan jeli untuk mengurangkan ataupun membayar saman anda. Namun, cara pembayaran ini khusus kepada pelajar Universiti Alaska Anchorage yang terletak di Amerika Syarikat sahaja.
Universiti berkenaan memberi peluang kepada pelajarnya yang gagal membayar denda terutamanya mereka yang mempunyai masalah kewangan untuk membayar menggunakan mentega kacang dan jeli.
Polisi ini diperkenalkan untuk menampung kos tiket yang tinggi dan pada masa yang sama ia boleh membantu para pelajar yang tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.
Untuk mereka yang tertanya apakah yang bakal berlaku terhadap makanan-makanan yang berjaya dikumpulkan itu, pihak universiti akan menyumbangkan dan mengagihkan terus makanan tersebut kepada pelajar yang memerlukan.
Universiti akan mengutip satu balang mentega kacang untuk harga denda sebanyak RM40, tiga balang untuk denda RM145 dan lima balang untuk denda RM160.
Dalam pada itu, pihak universiti mengeluarkan kenyataan bahawa mentega kacang badam, gajus, mentega kacang, jem, jeli dan jem limau juga boleh diterima selagi makanan tersebut dihasilkan secara komersial dan belum dibuka.
Walaupun ia mungkin kelihatan lucu, tetapi ia merupakan idea yang baik untuk kebajikan para pelajar dan patut dicontohi oleh universiti tempatan.