Unik Tetapi Enak, Ini 5 Makanan Tradisi Sabah Yang Wajib Anda Cuba

Negeri Sabah yang dikenali sebagai negeri di bawah bayu semestinya mempunyai banyak keunikan tersendiri. Ia bukan sahaja terkenal sebagai salah satu negeri pusat pelancongan, malah keunikan makanan tradisi negeri Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum juga menarik minat para pelancong untuk berkunjung ke sini. Berikut kami kongsikan makanan tradisi Sabah yang mungkin anda semua tidak tahu:

1. Hinava

Hinava atau Hinava Ginapan merupakan salah satu hidangan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun dan ia boleh dikatakan sebagai makanan yang paling popular dalam kalangan kaum ini.

Makanan ini merupakan hidangan yang dihasilkan daripada isi ikan segar yang dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam. Hivana biasanya merupakan hidangan istimewa semasa Tadau Kaamatan.

2. Ambuyat

Ambuyat merupakan sejenis hidangan yang berasal daripada bahagian batang dalam sagu sawit. Ambuyat ialah sejenis makanan tempatan Wilayah Persekutuan Labuan dan negeri-negeri Malaysia seperti Sarawak dan Sabah di mana makanan ini kadangkala dikenali sebagai linut. Ambuyat dimakan dengan garpu buluh yang dipanggil candas dan mencelupkannya ke dalam sos.

3. Berobok

Berobok (Nasi Bubur Jagung) juga dikenali sebagai Barobbo, merupakan makanan tradisional bagi suku kaum Bugis di Sabah terutamanya di daerah Tawau. Barobbo merupakan sejenis bubur yang dicampur dengan bahan-bahan lain seperti jagung, ayam dan sayur-sayuran. Ia sesuai dimakan pada bila-bila masa sahaja terutamanya buat sarapan pagi dan minum petang.

4. Noonsom

Noonsom merupakan salah satu hidangan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun atau lebih dikenali sebagai jeruk dalam bahasa Melayu. Terdapat beberapa jenis Noonsom dalam masakan Kadazan-Dusun, antara yang paling popular ialah Noonsom Sada (ikan), Noonsom Bambangan (buah) dan Noonsom Tuhau (ulam).

5. Latok

Latok sebenarnya merupakan rumpai laut. Latok sememangnya sangat popular dalam kalangan suku kaum Bajau Laut yang kebanyakannya tinggal di persisiran pantai daerah Semporna, Sabah.

Latok dipercayai mempunyai beberapa khasiat yang dianggap dapat memberi kebaikan kepada orang yang memakannya. Antara khasiat yang terdapat pada Latok adalah:

  • Awet muda
  • Merawat kanser
  • Kesihatan darah
  • Tulang, otot, dan urat berfungsi dengan baik

Biasanya Latok akan dimakan bersama nasi dan ikan yang dipanggang seperti ikan yu. Selain itu, Latok juga boleh dimakan begitu sahaja dengan mencampurkannya bersama perahan limau kasturi dan cili padi.

Kesimpulannya, kesemua makanan tradisi ini menjadi makanan wajib di kebanyakan kedai bagi memperkenalkannya kepada masyarakat luar yang melancong ke negeri Sabah khususnya mereka yang tidak tahu makanan tradisi negeri Sabah. Lihat sahaja kepelbagaian kaum yang terdapat di negeri bawah bayu ini, sudah semestinya ia juga kaya dengan makanan tradisi yang pelbagai.

Penulis

  • Rosnah Arani adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca