Pada bulan November tahun lepas, catatan yang dimuat naik oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Adam Zainal di mana dia berkongsi tentang nenek kesayangannya yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak tular di laman Twitter.
My grandmother working on her masters thesis pic.twitter.com/kcVCIFUGYs
— carmina portobello (@adamzainaal) August 20, 2016
Perkongsian tentang graduan berusia 83 tahun itu berjaya mencuri perhatian warganet apabila ia mendapat tanda suka sebanyak 15,000 kali manakala 27,000 ulang kicau di laman sosial berkenaan.
Graduan berkenaan yang dikenali sebagai Datin Siti Hendon Abdullah dikatakan masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya menyebabkan dia memilih untuk meletakkan usianya di belakang dan terus mara menuntut ilmu.
Baru-baru ini, Siti Hendon yang juga merupakan bekas pengetua sebuah sekolah menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu PhD dalam bidang yang sama.
“Walaupun saya sudah berusia 83 tahun namun saya masih seronok belajar perkara baru, membaca buku, majalah dan autobiografi. Tiada pengakhiran dalam menimba ilmu,” katanya kepada The Star.
Meskipun menuntut ilmu dapat diibaratkan seperti hobinya, namun menurut Siti Hendon, masalah penglihatan akibat faktor usia secara tidak langsung menyukarkan tugasnya untuk menyiapkan PhD.
“Membaca tulisan yang kecil adalah cabaran besar buat saya jadi saya terpaksa menggunakan kanta pembesar tetapi itu bukan alasan untuk saya mengalah,” katanya.
“Saya teruja setiap kali menghadiri kuliah, malah saya memandu sendiri ke kolej yang hanya 10 minit dari rumah,” ujarnya.
Siti Hendon yang juga telah mempunyai 2 orang cicit mengatakan bahawa dia menghabiskan masa sekitar 4 jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.
“Belajar semakin mudah kerana teknologi yang sudah berkembang. Saya suka menggunakan Google. Ia seolah-olah menyelamatkan hidup saya.”
“Tambahan pula ia mudah digunakan oleh sesiapa sahaja, dengan sekali tekan semua informasi dapat kita cari. Ia dapat dianggap sebagai perpustakaan digital yang boleh diakses di mana sahaja,” katanya.
Sebelum ini, dia bukan sahaja tidak tahu menggunakan gajet dalam kehidupan seharian malah dia langsung tidak berminat untuk mengambil berat berkenaan teknologi.
“Anak-anak cuba memujuk saya menggunakan gajet tetapi saya tidak ambil peduli kerana saya berpendapat bahawa saya boleh hidup tanpanya, namun keadaan berubah apabila saya menyambung pengajian di Universiti Tunku Abdul Rahman.”
“Pada awalnya, sukar juga hendak guna komputer riba termasuklah PowerPoint, Notepad dan Word, mujurlah ada cucu yang mengajar.”
“Insiden terlupa menekan butang ‘Save’ dan perlu tulis semula daripada awal merupakan perkara biasa,” ujarnya.
Umur Cuma Angka
Menurut Siti Hendon, dia memilih untuk melanjutkan pelajaran kerana kebosanan melanda dirinya setelah bersara pada tahun 1991.
Dia memberitahu bahawa sebaik sahaja dia bersara, masanya banyak diisi dengan menghadiri kelas agama. Di samping itu, dia turut menguruskan rumah tangganya, namun biarpun sudah melakukan semua perkara ini, dia berasakan masih mempunyai banyak masa lapang.
Akhirnya, Siti Hendon membuat keputusan untuk kembali menjadi pelajar kerana dia khuatir apabila dia langsung tidak berbuat apa-apa, masalah kemurungan atau demensia mungkin akan menimpa dirinya.
“Saya mengajar selama 37 tahun dan saya suka mengajar kanak-kanak di peringkat pra-sekolah. Bagi saya, ia merupakan peringkat paling penting dalam perkembangan mereka,” jelasnya.
Terdahulu, dalam tempoh 25 tahun, dia memberitahu yang dia pernah menghadiri kira-kira 50 kursus dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Pada masa yang sama, dia juga pernah membuka sebuah taska berdekatan kediamannya pada suatu ketika dahulu.
Untuk memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan sihat, Siti Hendon sangat menjaga pemakanannya di mana dia mengambil lebih banyak sayuran hijau berbanding nasi dan protein setiap hari.
“Bersenam adalah rutin harian dan kebiasaannya saya akan berjoging di sekitar kawasan perumahan. Selain itu, saya masih melakukan kerja-kerja rumah,” ujarnya.
Semoga perkongsian ini dapat memberi semangat buat semua untuk menuntut ilmu. Opah berusia 83 tahun pun masih gigih menimba ilmu, inikan pula kita yang masih muda.