Umur 24 Tetapi Berat Hanya 21 Kilogram, Wanita Ini Berlapar Demi Tanggung Kos Perubatan Adik

Sejauh manakah anda sanggup berkorban untuk keluarga? Bagi wanita ini, dia sanggup buat apa sahaja.

Menurut laporan media China, Wu Huayuan hanya tinggal bersama adik lelakinya setelah ibu bapanya meninggal dunia. Oleh kerana dia merupakan saudara sulung, Wu tiada pilihan selain terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Tambahan pula, adik lelakinya mempunyai masalah mental.

Kehidupan dua beradik ini serba kekurangan sehingga mereka harus bertahan dengan perbelanjaan berjumlah 1,290 yuan (RM765) sebulan. Demi menjimatkan kos, Wu berkata dia tidak akan bersarapan dan hanya makan sekeping roti pada waktu tengah hari. Bagi makan malam pula, Wu dikatakan hanya memakan nasi putih dan sos cili. Difahamkan, perempuan itu hanya menghabiskan 2 yuan (RM 1.20) sehari untuk makan dan minum.

Menurut Wu, dia terdesak dan terpaksa melakukan perkara tersebut ekoran penyakit mental adiknya yang memerlukan dia dirawat di hospital. Dianggarkan, kos rawatan saudaranya itu berjumlah hampir 5,000 yuan (RM2,964).

Namun begitu, setelah setahun dirawat, adik lelaki Wu kini dilaporkan sudah semakin pulih.

Walaupun Wu kini berusia 24 tahun, dia sama sekali tidak kelihatan seperti wanita sebayanya. Oleh kerana dia mengalami masalah malnutrisi yang teruk, Wu yang berketinggian 135 sentimeter, dilaporkan hanya seberat 21 kilogram. Rambut Wu juga dikatakan sudah gugur. Malah, bulu di keningnya juga sudah tiada.

Meskipun dihimpit masalah kewangan, Wu tidak putus asa dan mempunyai cita-cita tersendiri.

Wu telah berjaya menyambung pelajaran dalam bidang ekonomi di universiti. Tetapi, wang pinjaman yang diberikan bank tidak mencukupi untuk menampung kos pembelajarannya. Oleh itu, Wu sanggup membuat dua pekerjaan lain iaitu sebagai tukang cuci dan guru pembantu demi mengumpul wang.

Kesihatan Wu menjadi jatuh merudum apabila wanita itu mendapati dirinya sukar berjalan walaupun jarak 400 meter. Setelah dihantar ke hospital, Wu mendapat khabar kurang senang apabila dia kini memerlukan lebih wang untuk membiayai kos pembedahannya pula. Menurut doktor, Wu mempunyai masalah jantung ekoran malnutrisinya.

Difahamkan, Wu enggan menjalani pembedahan terbabit berikutan dia tidak mempunyai wang. Namun, rakan-rakan Wu nekad mahu membuat tabung derma untuk membantu wanita terbabit. Malah, adik lelaki Wu juga mahu mencari pekerjaan dan mengumpul duit untuk kakaknya seperti mana yang pernah dilakukan oleh saudara perempuannya itu kepada dirinya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca