Ramai yang tidak sedar dan keliru akan perkara di atas, namun penulisan ini hanyalah sekadar pandangan peribadi Hang Malaya kepada perubahan Ultras Malaya.

Bermula daripada usaha sekumpulan anak muda yang ingin menzahirkan sokongan kepada pasukan Malaysia, ahli Ultras Malaya atau lebih popular digelar ‘Ekor Harimau Malaya’ kini mencecah ratusan malahan ribuan semenjak ditubuhkan pada 2007.

Peringkat awal

Menzahirkan cara sokongan dengan menggelarkan diri mereka ‘ultras’ bukan mudah pada peringkat awal. Pergerakan menggunakan nama ultras ini mula popular di Itali pada tahun 1970-an. Cara dan pembawakan budaya ini sungguh jauh berbeza dengan apa yang kebiasaannya ada di Malaysia. Ini yang memberikan cabaran kepada sekumpulan anak muda ini untuk terus bawa budaya yang mereka percaya adalah cara sokongan padu dan baru untuk skuad kebangsaan.

Seperti pergerakan ultras di negara luar, perwatakan ganas dan kasar dapat ditonjolkan melalui pemakaian dan tingkah laku ahli mereka. Itu juga yang dibawa oleh Ultras Malaya pada awal penubuhan mereka.

‘Budak Nakal’ adalah julukan terhadap mereka ketika itu. Menghentam rejim Football Association of Malaysia (FAM) yang berkuasa pada ketika itu adalah makanan mereka. Rakyat Malaysia seperti keliru dengan keadaan ini. Menghentam, mengkritik dan pada masa yang sama masih menyokong pasukan. Sungguh berbeza ideologi yang mereka bawa pada ketika itu.

Tumbuh bagai cendawan selepas hujan, negeri-negeri di Malaysia juga turut mempunyai ultras mereka sendiri. Bermula pada tahun 2009, Perak adalah negeri pertama yang menubuhkan ultras di negeri mereka, diikuti dengan negeri Semenanjung lain serta Sabah dan Sarawak. Tetapi objektif mereka tetap sama, menghentam, mengkritik pengurusan persatuan bola sepak dalam pada masa yang sama menyokong pasukan negeri mereka.

Peringkat rebel (trend)

Pelbagai insiden berlaku dalam perjuangan mereka untuk memperoleh pengurusan yang baik buat pasukan, baik di peringkat negeri mahupun negara.

Ultras Malaya dan gerakan ultras-ultras negeri di bawah mereka seakan menyokong gerakan ‘Presiden FAM Sila Letak Jawatan’ (PFSLJ) pada ketika itu.

Dibelenggu dengan masalah kemerosotan bola sepak negara, kedua entiti ini dilihat bergerak seiringan dengan (PFSLJ) di media massa dan Ultras Malaya di stadium. Kata-kata kesat seperti “FAM BANGSAT”, “KAMI DAH FED UP” dan bermacam lagi dikeluarkan bagi menyatakan rasa marah mereka terhadap pengurusan FAM ketika itu.

Seperti menghidupkan semula api yang telah lama padam, mereka berjaya mengajak ramai peminat bola sepak tempatan untuk bersetuju dengan luahan hati mereka. Di sini pergerakan Ultras Malaya serta ultras-ultras negeri di bawah mereka dilihat membawa watak dan imej yang lebih ganas daripada peringkat awal penubuhan mereka.

Daripada sidang media dan perbincangan secara aman membawa kepada hamburan kata kesat serta serangan di media sosial. Ultras Malaya dan PFSLJ begitu lantang menyuarakan pendapat mereka tentang permasalahan bola sepak Malaysia.

Pada tahun 2014, Ultras Malaya telah membuktikan yang kata-kata mereka bukan sekadar omong kosong. Satu rusuhan telah dilakukan ketika perlawanan berlangsung pada perlawanan menentang Filipina. Suar dan bom asap dinyalakan sehingga perlawanan terhenti seketika. Nyanyian ‘FAM BANGSAT’ serta kain rentang ‘30 tahun Jahanam’ telah dinaikkan bagi membuka mata seluruh warga bola sepak dunia khususnya di Malaysia.

Tahun 2015 menjadi kemuncak bagi aktiviti ganas Ultras Malaya serta sekutunya, kelalahan 10-0 dengan Emeriah Arab Bersatu telah membawa satu lagi rusuhan atau Hang Malaya panggil sebagai bencana di Stadium Shah Alam. Kali ini rusuhan lebih dahsyat dan melibatkan banyak pihak.

“Setiap perjuangan perlukan pengorbanan,” rusuhan di Stadium Shah Alam membuka mata banyak pihak terutamanya pihak FAM serta seluruh warga bola sepak di Malaysia.

Ultras Malaya yang pada awalnya disanjung di media massa sudah mendapat nama julukan yang buruk sehingga digelar ‘penjenyah bola sepak’ pada ketika itu. Dihentam secukup rasa, bagai melepaskan dendam yang selama ini tersimpan di dalam hati mereka, inilah masanya Ultras Malaya mendapat tentangan luar biasa daripada seluruh pengamal media di Malaysia.

Penahanan ahli Ultras Malaya mendapat komen yang berbeza daripada setiap lapisan masyarakat. Ada yang mengutuk penahanan itu kerana menganggap itu adalah satu kelakuan yang heroic, ada pula yang menyokong kerana menganggap itu sebagai tindakan yang memalukan negara.

“Lebih baik melakukan perkara yang salah daripada bersembunyi dengan kebenaran,” itu pula pendapat Hang Malaya pada ketika itu biar sejarah yang membersihkan nama mereka.

Peringkat perubahan

Bertahun berjuang, perubahan telah berjaya diperoleh. Di peringkat negara mahupun negeri, sedikit demi sedikit perubahan dapat dilihat. Perubahan ini bukan sahaja dapat dilihat pada peringkat pengurusan bola sepak, malah menerusi gerakan Ultras Malaya sendiri pun perubahan itu dilihat. Ultras Malaya yang dulunya seperti berzikir menghamburkan kata maki, sekarang tidak lagi.

Nyanyian mengutuk FAM pada tahun 2017 merupakan ‘jenayah’ terakhir Ultras Malaya. Hang Malaya kira pada waktu itu kerana terlalu kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaya yang kalah ketika bertemu Hong Kong di sana. Datang jauh-jauh, kalah pula. Siapa tak baran, bro? Tapi bak kata pepatah Melayu moden, “Jika tidak mampu menyokong ketika kalah jangan bersorak waktu menang.”

Ultras Malaya kini dilihat lebih membawa pergerakannya kepada menyokong skuad kebangsaan. Tidak begitu lantang bersuara seperti dahulu. Barangkali ada platform yang disediakan pengurusan FAM baharu ini untuk mereka salurkan idea dan pendapat mereka? Jika ada, SYABAS FAM!

Terbaharu, dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil telah membuktikan perubahan Ultras Malaya lebih ke arah positif. Tenaga positif itu dapat dirasai bukan sahaja melalui cara sokongan tetapi tingkah laku ahli mereka yang kelihatan sangat behave ketika melawan Indonesia tempoh hari.

Di kesempatan ini juga, Hang Malaya nak ucapkan tahniah pada Ultras Malaya kerana telah berjaya menaikkan lukisan gergasi atau dalam terma lainnya ‘tifo’ yang cukup gah. Ia sekali gus meletakkan Ultras Malaya setanding dengan pergerakan di luar negara terutamanya Eropah yang berlumba-lumba menaikkan ‘tifo’ gergasi.

Persoalan dan kesimpulan

Banyak persoalan yang bermain di fikiran Hang Malaya, antaranya ialah:

Adakah Ultras Malaya takut atau cuma bersikap relevan dalam perubahan tingkah laku ini?

Tidakkah budaya ultras ini sepatutnya membawa imej kasar dan ganas?

Persoalan di atas yang membawa kepada penulisan artikel ini. Hang Malaya beranggapan perubahan ini tercetus kerana ‘transisi waktu’ yang berlaku di dalam pergerakan Ultras Malaya itu sendiri. Persoalan ini bukan bertujuan provokasi, harap ahli-ahli Ultras Malaya semua baca dengan hati yang terbuka dan bincangkan untuk kelangsungan pergerakan di masa hadapan.

Akhir kata, Hang Malaya percaya perubahan yang mereka capai sekarang bukanlah destinasi atau kemuncak perjuangan mereka sebelum ini, tetapi ia adalah permulaan untuk perjuangan baru. Perjuangan bagi memartabatkan bola sepak Malaysia.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda