KONGSIKAN

“Ulek mayang diulek, ulek dengan jala-jemala…”

Haa tahu tak lirik lagu apa ni? Kalau tahu anda mesti familiar dengan misteri di sebalik lagu ni kan? Namun sejauh mana kesahihan cerita tersebut tidak dapat dipastikan. Apa yang pasti setiap kali lagu ini dimainkan pasti akan menyebabkan anda meremang bulu roma!

Berikut merupakan asal-usul tarian dan lagu tersebut.

 

Photo: Wikipedia

 

Sejarah Ulek Mayang 

Mengikut lagenda pada zaman dahulu sekumpulan nelayan telah turun ke laut untuk menangkap ikan. Semasa mereka berada di tengah laut tiba-tiba ribut melanda lalu ombak memukul sampan yang mereka naiki. Kesemua nelayan terhumban ke dalam laut terkapai-kapai bagi menyelamatkan diri masing-masing.

Sebaik sahaja ribut reda satu persatu tubuh para nelayan itu dihanyutkan ke pantai. Seorang demi seorang dari nelayan tersebut mula menyedarkan diri dan berasa begitu beruntung kerana telah terselamat. Namun hanya seorang daripada mereka masih tidak terjaga dan pada mulanya disangka telah mati. Sebaliknya apabila diperiksa ternyata nelayan itu masih bernyawa namun tidak sedarkan diri.

Photo: Noor Arfa

 

Rakan-rakannya yang lain berasa sedih dan mengesyaki bahawa hanya jasadnya yang berada di situ namun jiwanya masih di alam lain. Lalu mereka meminta bantuan dari seorang bomoh untuk menyedarkan kembali rakan mereka. Apabila bomoh membaca mantera dia mendapati bahawa nelayan tersebut telah dipukau oleh Semangat Laut.

Rupa-rupanya ada seorang Puteri Bunian cuba menduga kesemua nelayan tersebut tetapi hanya seorang yang tertawan. Nelayan itu terperangkap dan merayau-rayau di alam bunian. Bomoh tersebut cuba membawa semangat nelayan itu kembali ke dunia, namun Puteri itu memanggil bantuan seorang adiknya. Di tengah-tengah pertarungan itu, dua lagi adiknya muncul untuk membantu. Kemudian muncul lagi dua orang, menjadi enam kesemuanya. Pertarungan semakin sengit hingga menggegarkan bumi dan menggolakkan laut.

 

 

Tatkala medan pertarungan semakin memuncak muncullah Puteri ke-7, yang sulung, yang jauh lebih rupawan, kuat dan bijaksana. Bomoh tersebut mula merayu kepada Puteri ke-7 agar dipulangkan semangat nelayan itu. Menyedari kenakalan adik-adiknya, Puteri Sulung mengarahkan agar pertarungan tersebut dihentikan.

“Aku tahu asal-usulmu,” kata Puteri ke-7.

“Biarkan yang laut pulang ke laut, dan yang darat pulang ke darat”.

Bomoh itu kemudian mempersembahkan nasi kuning kepada ketujuh-tujuh Semangat Puteri sebagai tanda terima kasih. Akhir sekali nelayan itu dibebaskan semangatnya dan kembali sedar.

Kini, persembahan Ulek Mayang yang dimainkan sekadar untuk suka-suka saja, di mana ia melambangkan suatu pemujaan mendalam terhadap Tuan Puteri Tujuh beradik. Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.

 

 

 

Lagu Ulek Mayang

Umbut mayang di umbut

Umbut dengan jala-jemala

Ulit mayang diulit

Ulit dengan puterinya satu

Puteri satu berbaju serong

Puteri satu bersangggul sendeng

Puteri satu bersubang gading

Puteri satu berselendang kuning

Ulit mayang di umbut

Ulit dengan jala-jemala

Jika sambut mayang disambut

Sambut dengan puterinya dua

Puteri dua berbaju serong

Puteri dua bersanggul sendeng

Puteri dua bersubang gading

Puteri dua berselendang kuning

Ulit mayang di umbut

Ulit dengan jala-jemala

Jika sambut mayang disambut

Sambut dengan puterinya tiga

Ku tahu asal usulmu

Yang darat balik ke darat

Yang laut balik ke laut

Nasi kuning hamba sembahkan

Pulih mayang ku pulih

Pulih balik sedia kala

 

Awas semua, jangan sembarangan menyanyi lagu di atas ya!

 

Sumber: Cari.com.my