‘Ubasuteyama’, Tradisi Rakyat Jepun Yang Membuang Orang Tua Mereka Di Gunung

Seperti yang kita tahu, Jepun atau negara matahari terbit adalah sebuah negara yang kaya dengan budaya-budaya positif yang boleh dicontohi. Budaya Jepun ini juga memang bukan calang-calang hebatnya. Sebagai contoh, negara Jepun sangat mementingkan bab kebersihan dan disiplin.

Namun begitu, terdapat cerita rakyat yang mengisahkan tradisi Jepun pada suatu masa dahulu yang mungkin ramai orang tidak tahu. Apakah tradisi tersebut?

Tradisi tersebut adalah ‘membuang’ orang yang sudah tua ke gunung atau ke dalam hutan. Ia membawa maksud, orang-orang yang sudah tua ‘kerepot’ atau waris dalam keluarga yang sudah tua harus dibuang ke gunung atau hutan. Tradisi yang menyayat hati ini dipanggil ‘Ubasute’ yang berasal dari Jepun sendiri.

Orang Jepun suatu masa dahulu mempunyai tradisi membuang ahli keluarga mereka yang sudah tua di gunung-gunung berdekatan termasuklah di Gunung Ubasuteyama. Tujuannya adalah untuk mengurangkan beban di samping mengurangkan tanggungan untuk diberi makan.

Selain itu juga, pada zaman dahulu, bagi anggota keluarga yang sudah lanjut usianya dan tidak mampu lagi untuk bekerja dianggap tidak berguna. Maka, dengan itu mereka harus dibuang ke gunung atau hutan.

Dalam kisah rakyat itu, ia menceritakan seorang anak lelaki yang menggendong ibunya yang sudah tua lalu dibawa ke gunung untuk dibuang. Sepanjang perjalanan ke gunung tersebut, si ibu bertindak dengan mematahkan ranting-ranting yang terdapat di gunung tersebut.

Anak yang sedang menggendong ibunya itu menjadi hairan. Apa yang tak disangka-sangka dan menyayat hati adalah si ibu tersebut melakukan tindakan sebegitu kerana tidak mahu anaknya tersesat sewaktu dalam perjalanan pulang dari gunung itu.

Si anak tadi terus menangis setelah mendengar kata-kata daripada ibunya yang tua itu lalu kembali membawa ibunya pulang ke rumah dan merawat si ibu dengan penuh kasih sayang sehinggalah ibunya meninggal.

Setelah menelusuri kisah ini, terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada si ibu tadi. Meskipun si ibu itu tahu yang dia akan dibuang tetapi dia masih memikirkan keselamatan anaknya.

Kita sebagai anak harus sedar bahawa orang tua bukan suatu barangan yang lusuh yang boleh dibuang dan diabaikan setelah melihat mereka tidak terdaya kerana sewaktu kita berjaya mahupun dalam kesusahan, hanya orang tua itu yang memahami dan menderita apabila melihat anak yang mereka kasihi menderita.

Oleh itu, kasihani dan sayangilah mereka selagi mereka masih hidup. Semoga pengajaran daripada kisah ini membuka hati dan minda masyarakat bahawa pentingnya nilai kemanusiaan dalam diri setiap manusia.

Penulis

  • Nur Ashima Muhammad adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca