Ubah Wajah Sebiji Angelina Jolie, Instafamous Ini Dihukum Penjara 10 Tahun

Gara-gara mempunyai obsesi untuk kelihatan seperti Angelina Jolie, seorang gadis di Iran dikatakan sanggup melakukan pembedahan plastik untuk mendapat wajah idolanya.

Walau bagaimanapun, Fatemah Khishvand atau lebih dikenali sebagai Sahar Tabar ini sebenarnya tidak melakukan pembedahan plastik untuk kelihatan seperti aktres tersebut tetapi dia telah berjaya memperdaya ramai orang dengan hasil photoshop dan mekap.

Sumber: The Sun

Siapa sangka, gurauan itu akhirnya menjerat dirinya sendiri kerana influencer berusia 19 tahun ini dihukum penjara 10 tahun kerana tindakan tersebut dikatakan salah di sisi undang-undang Iran.

Menerusi ciapan yang dimuat naik oleh seorang wartawan dan aktivis Iran iaitu Masih Alinejad di laman Twitter, Sahar ditahan selepas gadis itu memuat naik fotonya menyerupai Angelina Jolie tetapi dalam versi zombi.

Memetik laporan Daily News, gadis itu dikatakan merosakkan pemikiran remaja dan gurauan itu dianggap sebagai satu penghinaan buat republik Islam.

Dalam pada itu, ia bukan kali pertama Sahar ditahan kerana dia pernah didakwa sebelum ini atas tuduhan menghasut dan memperoleh pendapatan daripada sumber yang tidak bersesuaian. Tuah menyebelahi dirinya apabila dakwaan itu akhirnya digugurkan.

Sementara itu, penahanan Sahar menyebabkan wartawan berkenaan berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Angelina Jolie sendiri untuk membebaskan gadis tersebut.

Angelina Jolie. Sumber: Vanity Fair

Menurut laporan media tempatan, Sahar mempunyai rekod gangguan mental sehingga memerlukannya untuk mendapatkan rawatan psikiatri. Jadi, tempoh hukuman penjara yang dijatuhkan kepada Sahar adalah tidak masuk akal.

Alinejad turut berkata bahawa usaha membebaskan gadis ini turut dilakukan oleh ibu Sahar tetapi suara kecilnya tidak mendatangkan apa-apa hasil. Oleh itu, Alinejad mengambil inisiatif sendiri untuk menularkan kisah berkenaan.

Pada pendapat anda, adakah dakwaan terhadap Sahar akan digugurkan kali ini atau sebaliknya?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Instafamous, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca