Kerajaan Turkiye menolak tawaran Elon Musk untuk mengaktifkan Starlink di negara itu selepas menghadapi gempa bumi paling kuat dalam beberapa dekad ini.
Menerusi hantaran di Twitter, Elon Musk memaklumkan bahawa Starlink belum diluluskan oleh Kerajaan Turkiye lagi. Sebaik sahaja diluluskan, SpaceX akan dihantar dengan kadar segera.
Starlink is not approved by Turkish government yet. SpaceX can send as soon as approved.
— Elon Musk (@elonmusk) February 6, 2023
Elon Musk memberikan kenyataan tersebut apabila seorang pengguna Twitter menyatakan terdapat kekurangan komunikasi yang teruk selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Turki dan utara Syria.

Memetik laporan Business Insider, seorang pegawai kanan Turkiye yang tidak mahu namanya didedahkan mengucap terima kasih kepada syarikat bilionair atas cadangan itu.
Namun pegawai kanan itu menjelaskan bahawa kapasiti satelit negara Turkiye masih mencukupi.

Menurutnya lagi, Turkiye mempunyai sistem pangkalan yang masih berfungsi dengan hanya menggunakan bateri walaupun bekalan elektrik tidak dapat dijana di beberapa kawasan lain.
Ini bukan kali pertama Elon Musk menghantar bantuan kepada negara yang dilanda krisis.
Pada tahun lalu timbalan perdana menteri Ukrain, Mykhailo Fedorov meminta bantuan daripada Elon Musk untuk mengaktifkan Starlink di negara tersebut selepas diserang Rusia.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: