Turki Menutup Ruang Udara Untuk Pesawat Russia Ke Syria

Turki menutup ruang udaranya kepada pesawat awam dan tentera milik Russia yang terbang ke Syria, kata media tempatan memetik Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu.

Pengumuman yang dibuat itu merupakan satu tindak balas paling tegas oleh Turki setakat ini yang menjalin hubungan rapat dengan Moscow walaupun menjadi ahli pakatan pertahanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Kami menutup ruang udara kepada pesawat tentera Russia termasuk kepada pesawat awam yang terbang ke Syria.

“Mereka sudah diberi masa sehingga April dan kami sudah memintanya pada Mac,” lapor media Turki memetik kenyataan Cavusoglu.

Cavusoglu berkata, beliau sudah memanjangkan keputusan itu kepada rakan sejawatannya dari Russia, Sergei Lavrov, yang kemudian menyampaikannya kepada Presiden Vladimir Putin.

“Satu atau dua hari kemudian, mereka berkata bahawa Putin sudah mengeluarkan arahan, kami tidak akan terbang lagi,” Cavusoglu dipetik sebagai berkata kepada wartawan Turki dalam pesawatnya ke Uruguay sambil menambah larangan itu akan kekal untuk tempoh tiga bulan.

Tiada sebarang maklum balas segera diberikan Russia terhadap pengumuman Turki, yang bersama Iran menjadi penyokong penting Presiden Syria, Bashar al-Assad semasa perang saudara di negara bergolak itu. Turki menyokong pemberontak Syria ketika konflik berkenaan.

Hubungan Ankara dan Moscow terputus seketika selepas Turki menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Russia berhampiran sempadan Turki-Syria pada 2015.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca