Tunai Hajat Pesakit Kanser Tahap 4, Tindakan Naim Daniel Sumpah Buat Warganet Sebak

Pada Sabtu lalu, juara Anugerah Juara Lagu yang ke-34 (AJL34) iaitu Naim Daniel mencuri perhatian warganet apabila memuat naik satu hantaran di laman Instagram di mana ia memaparkan dirinya pergi menziarahi seorang peminat cilik yang menderita sakit kanser tulang tahap empat.

Difahamkan, Nur Aimy Adriana yang berusia 11 tahun itu tidak dapat menyaksikan persembahan Naim semasa AJL34 lalu kerana sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Oleh sebab itu, Naim mengambil keputusan untuk bawakan AJL34 kepada adik Aimy sendiri.

Menurut Naim yang dulunya merupakan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, dia dimaklumkan tentang impian adik Aimy untuk berjumpa dengannya oleh pihak pengurusan.

“Alhamdulillah, saya dapat berjumpa dan tunaikan impian adik Aimy. Disebabkan dia tidak dapat menonton AJL34 lalu, saya pun menyanyikan lagu ini secara langsung depannya,” kata Naim.

Pada masa yang sama, Naim juga membawa replika bulan yang ada dalam persembahan pada malam itu. Dalam video yang dikongsikan di Instagram Naim, adik Aimy dilihat mengalirkan air mata semasa penyanyi itu mengalunkan bait-bait lagu Sumpah. Lebih meruntun jiwa, Naim juga menukar lirik asal lagu tersebut kepada “Aimy, akanku mengasihimu sehingga nadiku tiada lagi berlagu.”

Cerita Naim kepada portal Harian Metro, dia difahamkan yang sebelum kedatangannya, adik Aimy sangat lemah dan tidak bersemangat.

“Sebelum kehadiran saya, difahamkan adik Aimy tak bersemangat. Dia nak baring saja. Tapi, semasa saya datang dan selepas itu, dia kembali ceria.”

“Seronok saya dengar khabar itu. Saya mendoakan semoga dia cepat sembuh dan terus sihat,” katanya.

Semasa artikel ini ditulis, video tersebut sudah mencatat lebih satu juta tontonan dan mendapat hampir 5,000 komen daripada rakan artis dan para peminat. Tinjauan kami di ruangan komen mendapati rata-rata memuji apa yang Naim lakukan untuk peminatnya itu. Berikut kami kongsikan beberapa komen daripada warganet:

“Sejujurnya, aku bukanlah salah seorang peminat fanatik kau. Tapi video ini buat aku menangis. Niat kau baik sangat, bro. Semoga terus dimurahkan rezeki dan diberikan kesenangan dunia akhirat, insyaAllah. Amin,” tulis @h.fizam.

“Allah, sedihnya. Semoga Aimy kuat dan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya. Untuk Naim, semoga dipermudahkan segala urusan. Orang yang baik ramai sayang,” coret @the_yatieyunus.

“Terima kasih, Naim. Semoga Allah balas awak setimpal dengan kebaikan yang awak lakukan. Amin,” doa seorang pengguna laman itu di sebalik akaun @ashhdnn.

“Terima kasih banyak, Naim kerana sudi menggembirakan Aimy. Dia memang anak yang kuat. Ustazah doakan Aimy kembali sihat dan dapat datang ke sekolah seperti dulu,” tulis @syuhadamustaffa yang dipercayai guru kepada adik Aimy.

View this post on Instagram

😭☺️

A post shared by 𝙽𝚞𝚛𝚊𝚒𝚖𝚢 🦋✨ (@_.nuraimy._) on

Dalam pada itu, tinjauan kami di Instagram adik Aimy mendapati dia turut berkongsi foto memaparkan satu nota yang ditinggalkan khas oleh Naim buatnya.

Semoga lebih ramai selebriti yang boleh mencontohi keperibadian Naim selepas ini. Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Naim atas apa yang dilakukan. Semoga Naim sentiasa berada di bawah kerahmatan Allah SWT.

Untuk baca artikel lain tentang Naim Daniel, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca