Tumbuk Pintu Cermin Masjid Sehingga Pecah, Lelaki Ditemui Maut Di Rumah Sewanya

Akibat rasa marah gara-gara pintu cermin masjid ditutup, seorang lelaki ini dipercayai telah menumbuknya sehingga pecah.

Lelaki itu kemudiannya telah ditemui maut di rumah sewanya di Taman Scientex, Pasir Gudang di Johor dengan kesan luka kecederaan pada kaki kanan serta pergelangan tangannya.

Hasil siasatan awal mendapati bahawa lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan telah mengamuk di Masjid Taman Scientex berdekatan dengan tempat tinggalnya pada malam sebelumnya.

Hal berkenaan berlaku apabila dia mendapati pintu masjid berkenaan ditutup selepas solat Isyak.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata mangsa telah bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid itu hingga pecah yang kemudiannya menyebabkan tangannya berlumuran dengan darah.

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki tersebut menumbuk pintu cermin itu sebanyak dua kali sebelum ianya pecah.

Beliau turut melaporkan, kakak kepada lelaki berkenaan memaklumkan bahawa adiknya merupakan seorang jurutera kimia di sebuah syarikat.

Kakaknya menjelaskan bahawa adiknya berada dalam keadaan yang tertekan kerana sudah hampir enam bulan dia tidak dapat pulang untuk melawat keluarganya di Kuala Berang, Terengganu.

Tambahnya lagi, polis menerima makluman berkenaan lelaki tersebut pada 7:35 pagi Ahad dan mayatnya telah dirujukkan ke Hospital Sultan Ismail untuk proses bedah siasat.

Susulan daripada proses bedah siasat, kematian tersebut dikatakan berlaku akibat daripada luka parah di pergelangan tangan kanan, saluran darah arteri dan urat tendonnya terputus akibat daripada tumbukan pintu cermin kaca tersebut.

Kes kematian dikategorikan sebagai mati mengejut, tambah beliau.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca