Seekor katak berjaya menumbuhkan semula kaki yang hilang selepas dirawat dengan koktel ubat (campuran ubat berbeza-beza) dalam satu kajian terbaru.
Katak cakar Afrika, yang secara semula jadi tidak dapat menjana anggota tubuhnya, telah diberikan ubat-ubatan selama 24 jam sahaja. Selepas 18 bulan, rawatan itu memperlihatkan pertumbuhan semula kaki yang berfungsi pada katak berkenaan.
Penemuan ini membuka kemungkinan bahawa ubat-ubatan boleh digunakan pada masa hadapan untuk menghidupkan kesan yang sama bagi penjanaan semula pada pesakit manusia, memulihkan tisu atau organ yang telah hilang akibat penyakit atau kerosakan.

“Sangat menarik untuk melihat bahawa ubat-ubatan yang kami pilih membantu menghasilkan anggota badan yang hampir lengkap,” kata Nirosha Murugan dari Universiti Tufts di Massachusetts dan pengarang pertama kertas kajian itu.
“Hakikat bahawa ia hanya memerlukan pendedahan kecil kepada ubat-ubatan untuk mengaktifkan proses penjanaan semula selama berbulan-bulan menunjukkan bahawa katak dan mungkin haiwan lain mungkin mempunyai keupayaan regeneratif yang tidak aktif yang boleh dicetuskan untuk bertindak.”
Dalam penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances itu, saintis memotong kaki belakang katak dan menutup luka dalam penutup silikon yang mengandungi koktel lima ubat.
Ubat-ubatan tersebut masing-masing mempunyai tujuan yang berbeza, termasuk mengurangkan keradangan dan pengeluaran kolagen untuk menghentikan pertumbuhan tisu parut. Ubat-ubatan itu juga bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan gentian saraf, saluran darah dan otot baru.
Kebanyakan katak yang dirawat mempunyai pertumbuhan semula tisu yang ketara, dengan kebanyakannya mencipta semula kaki yang hampir berfungsi sepenuhnya, lengkap dengan tisu tulang dan juga ciri-ciri seperti jari kaki pada hujung anggota badan.
Katak dapat berenang dengan kaki yang tumbuh semula kerana ia bergerak dan bertindak balas terhadap sentuhan.

“Menutup luka terbuka dengan persekitaran cecair di bawah (koktel ubat yang betul) boleh memberikan isyarat pertama yang diperlukan untuk menggerakkan proses penjanaan semula,” kata Michael Levin, profesor biologi dan pengarah Vannevar Bush Pusat Penemuan Allen di Tufts. Pasukan itu kini merancang untuk menguji teknik itu pada mamalia pula.
Bob Lanza, ketua Astellas Global Regenerative Medicine, yang tidak terlibat dalam penyelidikan, menyifatkan kemajuan itu sebagai “pencapaian yang menakjubkan”.
“Kajian itu mempunyai kesan yang sangat menarik untuk perubatan regeneratif,” kata Lanza. “Walaupun katak mempunyai kapasiti regeneratif yang jauh lebih besar daripada manusia, ini adalah langkah pertama yang sangat penting. Dengan gabungan ubat dan faktor yang betul, pendekatan yang sama berpotensi untuk merangsang pertumbuhan semula dan memulihkan fungsi yang hilang pada manusia.”
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: