Tular Video Pensyarah Perlekeh Pelajar B40, Pihak UiTM Tampil Beri Kenyataan Rasmi

Sebuah video tular semalam di media sosial menunjukkan seorang pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperlekehkan pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba dipercayai berlaku ketika sesi kelas atas talian.

Video tersebut telah mendapat perhatian orang ramai dan pelbagai reaksi serta pandangan dikongsi oleh warganet.

Susulan isu berkenaan, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor tampil memberikan kenyataan rasmi.

Pihak UiTM kini dalam penelitian termasuk tindakan yang akan diambil terhadap pensyarah itu. Tambahan pula, insiden terbabit berlaku pada semester lalu tetapi ia baru ditularkan semalam.

“Dia adalah pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).”

“Kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program One to One Tree dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Hijau Malaysia dan UiTM hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Dr Roziah menjelaskan bahawa wanita berkenaan adalah pensyarah yang bagus dan mungkin berlaku sedikit kesilapan mengenai tindakannya memarahi pelajar berkenaan.

“Tindakan akan diambil tetapi saya tidak boleh jelaskan di sini. Dia adalah pensyarah kontrak dan ada laluan sebelum tindakan diambil.

“Semua pensyarah UiTM mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka dan saya harap orang ramai dapat bertimbang rasa terhadap staf dan pelajar saya,” katanya.

Beliau berkata, UiTM juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Dr Roziah juga menyeru kepada para pelajar yang berhadapan dengan sebarang masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca