Tular Video ‘Ceramah’ Gelandangan, Usahawan Ini Dikompaun Kerana Tak Pakai Pelitup Muka

Seorang usahawan lelaki telah dikompaun sebanyak RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika sedang ‘berceramah’ kepada gelandangan di PusatTransit Gelandangan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menjelaskan bahawa pihak polis mengesan video berdurasi 49 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan seorang lelaki tidak memakai pelitup muka.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada 11:30 pagi, Selasa lalu, apabila individu berkenaan menyampaikan ‘ceramah motivasi’ yang bertajuk ‘Ubah Hidup’ kepada 20 orang gelandangan di pusat transit tersebut.

Bukan itu sahaja, video pendek tersebut turut menunjukkan usahawan itu meninggikan suara kepada seorang warga emas yang sememangnya membuatkan ramai warganet panas hati.

Lelaki tersebut yang juga dipercayai seorang pengasas produk kecantikan bercakap dengan nada tinggi dan mempersoalkan tentang masa silam seorang lelaki warga emas gelandangan.

“Menyesal tak masa muda dulu tak buat betul-betul? Banyak main-main, tak buat betul-betul… Malas… Menyesal tak?” soalnya kepada warga emas berkenaan dalam nada yang tinggi di khalayak ramai.

Hal tersebut sudah semestinya membuatkan ramai warganet bengang dengan kelakuan usahawan tersebut yang kelihatan biadap terhadap warga emas tersebut.

Pihak polis kemudiannya memanggil lelaki berusia 34 tahun itu untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5:20 petang Rabu.

Mohamad Zainal Abdullah turut berkata, polis telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 kepada lelaki terbabit kerana telah melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Tambahnya lagi, tindakan tersebut diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Oleh yang demikian, beliau menasihati orang ramai agar mematuhi peraturan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kegagalan untuk mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca