Tular Video Buli Pelajar MRSM, Polis Tahan Enam Orang Pelajar

Berikutan satu satu rakaman video buli pelajar MRSM yang tular di sosial media, pihak polis telah menahan enam orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar terbabit bagi membantu siasatan.

Di dalam beberapa klip video berdurasi 13 hingga 30 saat tersebut, seorang remaja dipaparkan menjadi mangsa buli beberapa orang pelajar lain. Video-video ini menjadi tular di laman sosial media sehingga mengundang kecaman orang ramai.

Video tersebut memaparkan situasi seorang remaja menjadi mangsa buli apabila dia diminta untuk berdiri tegak sebelum ditendang di bahagian belakang badan kemudian ditumbuk beberapa kali pada perut oleh beberapa remaja lain.

Video buli melibatkan kekerasan tular di laman sosial. Sumber: Berita Harian

Menurut Datuk Mior Faridalthrash Wahid, Ketua Polis Perak, pada mulanya kami menahan empat orang pelajar yang semuanya berusia 13 tahun selepas mereka memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara jam 6 petang hingga 7 malam.

“Kita menahan empat pelajar untuk siasatan lanjut,” katanya semasa dihubungi oleh pemberita sebelum ini.

Namun, pihak polis menahan lagi dua orang pelajar malam tadi menjadikan semua jumlah yang ditahan sebanyak enam orang.

“Setakat ini enam pelajar telah ditahan dan masih dalam tahanan,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Pihak polis telah cuba mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada semua pihak yang terlibat. Mereka telah memanggil semua pelajar yang dikatakan terbabit dalam kejadian buli secara kekerasan tersebut. Pihak polis juga turut menghubungi pemilik akaun media sosial yang menularkan rakaman video berkenaan untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku pada antara jam satu hingga dua pagi Khamis 9 Disember. Kejadian buli itu membabitkan seorang mangsa dengan tujuh suspek remaja lain yang semuanya berusia 13 tahun dan merupakan pelajar Tingakatan 1 di situ.

Pihak polis mendapat laporan mengenai kejadian berkenaan daripada pengetua sekolah terbabit kira-kira jam satu tengah hari semalam setelah tularnya rakaman video kes buli tersebut di laman sosial.

Kata beliau, kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca