Seorang wanita baru-baru ini menjadi bualan ramai selepas dirakam berdiri di hadapan sebuah Proton Wira dan menghalang kereta itu daripada bergerak di persimpangan lampu isyarat dekat Port Dickson, Negeri Sembilan.
Memetik laporan Berita Harian, wanita berusia 32 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana dia risaukan kesihatan suaminya yang memandu kereta terbabit.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh wanita berkenaan yang tampil bersama suaminya di Balai Polis Port Dickson semalam selepas video aksinya yang dirakam pengguna jalan raya lain tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson iaitu Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata pasangan warga Indonesia terbabit telah tampil ke balai polis untuk memberikan penjelasan selepas menyedari mengenai video yang tular itu.

Mengulas lanjut, Mustafah berkata lelaki berusia 58 tahun itu dikatakan baru sahaja mendapat rawatan di Hospital Port Dickson kerana pelbagai penyakit.
Isteri pemandu Proton Wira itu juga sudah menasihati lelaki berkenaan supaya tidak keluar dari rumah kerana wanita itu risau akan kesihatan suaminya.
Walau bagaimanapun, pemandu Proton Wira itu tidak menghiraukan larangan isterinya dan tetap keluar dari rumah mereka untuk ke tempat tinggal anak mereka di Teluk Kemang, Negeri Sembilan.
“Wanita berkenaan yang menyedari perkara itu terus membonceng motosikal ditunggang jiran sebelum mengesan suaminya di persimpangan lampu isyarat Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson.
Tanpa berlengah, wanita terbabit menghalang kereta dipandu suaminya dan pada masa sama aksinya itu dirakam sehingga video berkenaan tular di media sosial,” jelas Mustafah.

Terdahulu, pihak polis meminta individu yang terbabit dalam video tular di Twitter itu untuk tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, Mustafah turut berkata pasangan terbabit memohon maaf di atas perbuatan mereka dan menyedari tindakan itu boleh membahayakan diri sendiri serta orang awam lain.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: