Tular Saluran Telegram Yang Memaparkan Rakaman Kamera Tersembunyi Di Tandas Awam

Sedang dunia meraikan Hari Wanita, tular satu ciapan di Twitter yang mendedahkan wujudnya saluran Telegram yang memaparkan rakaman kamera tersembunyi di tandas awam.

Di saat mereka sedang menggunakan tandas, tanpa diketahui oleh mereka aksi itu telah dirakam oleh golongan yang tidak bertanggungjawab untuk dikongsi kepada ahli di dalam saluran tersebut.

Dengan mengenakan caj keahlian sebanyak RM100 seumur hidup, mereka juga janjikan rakaman yang akan dikemas kini setiap hari.

Pendedahan ini merunsingkan para wanita di Malaysia apabila privasi mereka terancam begitu juga dengan keselamatan diri.

Seorang pengguna Twitter Sue Anna Joe, telah berkongsi cara untuk mengesan tempat di mana kamera tersembunyi itu sering diletakkan.

Melalui perkongsian itu, beliau juga memaparkan objek-objek yang sering digunakan untuk mengintip antaranya ialah berus tandas dan cangkuk plastik yang sering kali kelihatan di dalam tandas. Beliau juga menasihati orang ramai terutama sekali para wanita supaya memeriksa tandas terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Rata-rata warganet dalam kalangan wanita berasa tidak puas hati dan jijik dengan perlakuan mereka.

Tidak mahu mangsa perbuatan terkutuk itu bertambah, warganet merayu agar saluran itu dipadam dan dilaporkan kepada pihak polis supaya mereka dikenakan tindakan yang sewajarnya. Malah mereka mengecam beberapa individu yang mengambil kesempatan untuk meminta pautan saluran Telegram tersebut untuk tujuan peribadi.

Perkongsian sebegini sebenarnya sudah lama wujud menggunakan platform saluran yang lain, malah sebelum ini juga sudah ada beberapa individu yang memberi amaran tentang aktiviti terkutuk ini. Namun begitu, baru hari ini ia didedahkan kepada umum dan ia memberi kesedaran kepada orang ramai untuk lebih berhati-hati.

Diharapkan individu yang bertanggungjawab ini ditangkap dan menerima hukuman yang setimpal.

Untuk membaca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca