Tular Penipuan Sim Swap, PDRM Nafi Modus Operandi Tersebut Wujud

Baru-baru ini tersebar di aplikasi WhatsApp dan Facebook mengenai satu maklumat tentang kewujudan modus operandi penipuan baharu yang dinamakan Sim Swap.

Namun, setelah melakukan penyiasatan, Polis Diraja Malaysia mengesahkan bahawa dakwaan wujud taktik penipuan baharu itu adalah palsu sekaligus menafikan kewujudan modus operandi tersebut.

PDRM nafi kewujudan penipuan baharu yang dipanggil Sim Swap. Sumber: BERNAMA

Menurut Datuk Mohd Kamarudin Md Din, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, mesej yang tular itu berkata mangsa akan menerima panggilan dan diminta menekan ‘butang 1’.

“Mangsa akan menerima panggilan dan diminta menekan butang satu sebelum telefon digodam serta diambil alih penjenayah bagi memindahkan semua wang mangsa ke akaun lain.”

Namun, kata beliau mesej itu hanyalah maklumat palsu yang disebarkan dan setakat ini masih lagi tiada laporan polis diterima berkenaan modus operandi berkenaan.

“Apa yang kerap berlaku adalah penghantaran APK (Paket Pakej Android) kepada pengguna telefon pintar yang mengandungi aplikasi berbahaya.

“Apabila pengguna memuat turun aplikasi itu, ianya akan memberi akses kepada penjenayah untuk mendapatkan data mengenai perbankan internet milik mangsa dan kemudian digunakan untuk memindahkan wang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan dengan hal ini, beliau menasihatkan orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak benar bagi mengelak kegusaran awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi CCID Scam Response Centre (Pusat Respon Penipuan JSJK) di talian 03-26101559/1599 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca