Baru-baru ini telah tular di media sosial mengenai kisah seorang aunty yang kelihatan sudah berusia namun masih bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda. Gambarnya sedang menunggu pesanan melalui aplikasi itu telah menjadi buah mulut dalam kalangan warganet yang rata-ratanya memuji kesungguhannya bekerja walaupun sudah berumur.
Walaupun gambar wanita itu telah tular dan dikongsikan di platform media sosial, namun masih ramai yang tidak mengetahui kisah sebenar di sebalik pekerjaannya, sehinggalah pendakwah Ustaz Ebit Lew mengunjunginya sendiri di Kuala Lumpur dan berkongsikan kisah aunty berkenaan.

Menurut hantaran yang dibuat Ebit Lew menerusi Facebook peribadinya, aunty berkenaan dikenali sebagai Christine Ti yang kini tinggal bersama adiknya selepas kematian ibu. Dia yang dahulunya pernah bekerja sebagai penulis majalah berbahasa Inggeris, kini bekerja sebagai penghantar makanan, Foodpanda.
“Semenjak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hilang kerja. Mula kerja Foodpanda guna kereta kancil lama,” antara perkongsian yang ditulis Ebit Lew pada halaman Facebooknya.

Difahamkan ketika lawatan Ebit Lew bertemu Christine, beliau turut berpeluang membantu membaiki kereta Kancil yang digunakan sebelum ini di samping menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepadanya.
Menurut Christine, kereta Kancil tersebut telah digunakan untuk menghantar makanan yang usianya sudah mencecah 25 tahun merupakan kesayangan kepadanya.

“Saya tolong repair kereta kancil aunty. Sudah dekat 25 tahun kancil ini. Gantikan tayar baru dan servis. Beri sedikit duit belanja dan nanti nak tengok rumahnya dengarnya dah bocor dan ada kerosakan,” tulis Ebit Lew.
Menurut Ebit Lew lagi, bahkan aunty Christine juga gembira dengan pekerjaannya sekarang sebagai penghantar makanan. Walaupun pekerjaan ini kebiasaannya dilakukan oleh golongan muda namun tiada politik kerja antara mereka.
Untuk membaca artikel berkaitan, klik pada pautan di bawah: