Tular Di Twitter, Aplikasi Ini Boleh Meramal Tarikh Kematian Anda

Semua orang tahu yang hayat kita di muka bumi ini cuma bersifat sementara sahaja. Namun begitu, tiada siapa yang tahu tarikh kematian masing-masing. Pernahkah anda terfikir, bagaimana agaknya sekiranya kita dapat tahu waktu jantung kita akan berhenti berdegup buat selamanya?

Baru-baru ini, tular di laman Twitter mengenai satu aplikasi yang diberi nama Countdown. Aplikasi tersebut dikatakan boleh meramal tarikh kematian seseorang. Persoalannya, adakah ramalan itu tepat?

Sebenarnya, aplikasi tersebut dibuat bersempena dengan filem berjudul Countdown yang baru sahaja ditayangkan di pawagam pada 25 Oktober lalu. Filem itu mengajak para penonton mengetahui tarikh kematian mereka menerusi sebuah aplikasi bernama Countdown.

Sinopsis filem Countdown

Quinn (Elizabeth Lail) selaku seorang jururawat ditugaskan untuk merawat seorang pesakit bernama Evan (Dillon Lane) yang sedang berada dalam ketakutan gara-gara diramalkan oleh aplikasi Countdown yang dia bakal meninggal dunia sama waktu dengan masa pembedahannya.

Evan percaya 100 peratus dengan perkara itu memandangkan sebelum ini, kekasihnya (Anne Winters) itu juga menerima nasib yang sama di mana ramalan aplikasi berkenaan memang tepat.

Pada mulanya, Quinn menganggap cerita pesakitnya itu adalah rekaan semata-mata. Dia memberitahu rakan-rakan sekerja mengenai aplikasi tersebut. Masing-masing kemudiannya bertindak memuat naik aplikasi berkenaan termasuklah Quinn. Ada di antara mereka yang diramalkan bakal pergi buat selama-lamanya 57 tahun akan datang. Quinn pula diramalkan akan meninggal dunia dalam masa dua hari sekali gus membuatkannya menjadi resah.

Apabila pesakitnya sebelum ini betul-betul meninggal sewaktu menjalani pembedahan, Quinn menjadi makin gelisah memikirkan nasibnya.

Quinn akhirnya memilih untuk membeli telefon baharu selepas cubaannya untuk membuang aplikasi itu daripada telefonnya gagal.

Tanpa diduga, aplikasi tersebut turut muncul secara tiba-tiba dalam telefon yang baru sahaja dibelinya. Di saat berada dalam ketakukan memikirkan nasibnya, Quinn bertemu dengan seorang lelaki bernama Matt (Jordan Calloway) yang juga sedang menanti saat kematian seperti yang diramalkan aplikasi berkenaan. Lebih malang lagi, Matt ternyata mempunyai masa yang jauh lebih singkat berbanding Quinn.

Nasib sama menimpa mereka itu membuatkan masing-masing berjuang mencari cara untuk ‘lari’ daripada kematian yang sedang menanti mereka berdua. Adakah Matt dan Quinn akan dapat mengubah nasib mereka?

Benarkah aplikasi Countdown boleh ramal kematian anda?

Meskipun aplikasi ini benar-benar wujud dan boleh dimuat naik di App Store bagi pengguna Apple dan Play Store bagi pengguna Android, ia cumalah bertujuan untuk mempromosikan filem Countdown semata-mata.

Jadi, jika aplikasi itu ramalkan anda bakal meninggal dunia esok, jangan sampai takut mahu keluar rumah pula! Kematian itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan tiada siapa mahupun apa-apa aplikasi yang boleh meramalkannya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca