Tukar Mayat Mangsa Jadi Sabun Dan Kek, Ini Kisah Pembunuh Bersiri Leonarda Cianculli

Bagi Leonarda Cianculli, anak merupakan segalanya. Jadi, apabila anak lelakinya mahu menyertai angkatan tentera Itali, Leonarda pergi kepada satu-satunya perkara yang dipercayai mampu menyelamatkan anaknya iaitu melakukan korban manusia.

Kepercayaan karut

Leonarda telah berkahwin dengan seorang kerani semasa berumur 23 tahun. Walau bagaimanapun, hubungan tersebut tidak mendapat persetujuan ibu bapanya yang meninginkan anaknga berkahwin dengan seseorang yang lebih berkedudukan tinggi. Leonarda mendakwa sejak daripada itu, ibunya telah menyihir Leonarda agar kehidupan anaknya itu tidak pernah bahagia.

Sepanjang perkahwinannya, Leonarda telah hamil sebanyak 17 kali namun hanya empat orang anaknya sahaja yang masih hidup. 13 yang lain mati sama ada sebelum mencecah umur 10 tahun atau keguguran. Disebabkan itu, Leonarda telah pergi berjumpa dengan seorang tukang tilik nasib.

“Pada tangan kanan, saya melihat penjara. Manakala, di tangan kiri pula saya melihat hospital sakit jiwa untuk penjenayah,” ujar tukang tilik itu kepada Leonarda.

Akibat terlalu taksub dengan hal-hal tahyul, Leonarda telah memilih untuk melaksanakan korban manusia sebagai cara untuk menyelamatkan anaknya ketika dia pergi menyertai pasukan tentera Itali.

Pemilihan mangsa

Mangsa pertama Leonarda adalah seorang anak dara tua bernama Faustina Setti. Leonarda mengumpan Faustina ke rumahnya dengan alasan dia mahu memperkenalkan wanita itu kepada calon suami. Leonarda turut memberitahu mangsa supaya menulis surat kepada keluarganya untuk memaklumkan dia pergi berjumpa calon suami di negara seberang.

Setelah Faustina hadir ke rumahnya, Leonarda memberinya minuman wain yang sudah diletakkan dadah sebelum membunuh mangsa menggunakan sebilah kapak. Seterusnya, Leonarda memotong badan Faustina kepada sembilan bahagian dan darah wanita itu dikumpulkan ke dalam sebuah besen. Sewaktu disoal siasat, Leonarda dengan selamba memberi deksripsi secara terperinci terhadap perlakuannya ke atas mayat Faustina.

“Saya mencampurkan bahagian-bahagian tersebut ke dalam sebuah periuk belanga. Kemudian, saya menambah 7 kilogram soda kaustik yang digunakan dalam pembuatan sabun. Seterusnya, saya mengacau campuran itu sehingga ia menjadi satu campuran yang pekat. Kemudian, saya menuang kesemuanya ke dalam beberapa baldi sebelum mencampakkan semuanya ke dalam sebuah tangki septik.”

“Bagi darahnya pula, saya biarkan sehingga ia menjadi gumpalan sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar untuk proses pengeringan. Setelah itu, saya mencampurkannya bersama-sama tepung, telur, gula, coklat, susu dan sedikit marjerin. Saya dapat menghasilkan banyak kek yang sedap untuk diagihkan kepada orang ramai. Kami sekeluarga turut menjadikannya sebagai santapan harian,” ujar Leonarda.

Selepas Faustina, Leonarda seakan tidak puas dan mula mencari mangsa kedua. Dia bertemu seorang wanita yang tinggal sebatang kara iaitu Francesca Clementina Soavi. Sepertimana Faustina, Leonarda turut meminta Francesca untuk menulis surat kepada rakan-rakannya bahawa dia akan ke luar negara kerana mendapat tawaran mengajar. Francesca menemui ajalnya tidak lama kemudian. Mayat wanita itu kemudiannya turut dijadikan bahan utama dalam kek buatan Leonarda.

Mangsa ketiga Leonarda merupakan seorang penyanyi bernama Virgina Cacioppo. Dia telah mengumpan Virginia dengan menawarkannya kerja bersama seorang pengurus teater di Florence. Berbeza dengan mangsa lain, daging Virginia telah dicairkan dan ditukarkan kepada sabun.

“Dia (Virginia) turut diletakkan di dalam periuk sebagaimana yang lain. Tetapi, daging wanita itu gemuk dan putih. Apabila saya telah berjaya mencairkannya, saya menambah sebotol minyak wangi dan setelah lama mendidih, ia menjadi sabun yang sungguh baik.”

“Saya agihkan kesemua buku sabun itu kepada orang ramai. Kek yang terhasil daripada Virginia juga merupakan yang terbaik pernah saya hasilkan. Wanita itu terasa sungguh manis,” tambah Leonarda dalam temu bual bersama pihak polis.

Pengakhiran Leonarda

Satu kesilapan telah dilakukan oleh Leonarda semasa memilih mangsa terakhirnya, Virginia. Tidak seperti Faustina dan Francesca yang sebatang kara dan mempunyai keluarga yang terlalu kecil, Virginia mempunyai seorang kakak ipar yang sangat gemar menjaga tepi kain orang.

Apabila surat daripada Virginia yang mengatakan dia akan ke Florence, kakak iparnya tidak mempercayai kandungan surat itu. Hal tersebut menyebabkan wanita itu mengekori Virginia ke rumah Leonarda. Setelah Virginia dilaporkan hilang, kakak iparnya segera melaporkan Leonarda kepada polis.

Pada mulanya, Leonarda menafikan penglibatannya dalam kes kehilangan Virginia. Namun setelah pihak polis mula mengesyaki anak lelakinya, Giuseppe, Leonarda segera mengaku ke atas jenayah kejam tersebut. Leonarda akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 3 tahun lagi di sebuah hospital jiwa. Hukuman yang diterma oleh Leonarda sama seperti yang telah dikatakan oleh si tukang tilik.

Leonarda menemui ajalnya semasa berusia 79 tahun setelah mengalami pendarahan dalam otak. Mayatnya telah diserahkan semula kepada ahli keluarga untuk dikebumikan. Namun, segala alatan yang digunakan bagi membunuh tiga orang wanita itu telah didermakan kepada Criminology Museum di Rome, Italy di mana ia masih terpampang buat tontonan ramai sehingga hari ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca