Tukang Gunting Rambut Miliki Lebih 400 Kereta Mewah, Ini Kisah Ramesh Babu

Kesukaran hidup bukanlah alasan untuk kita bermalas-malasan. Buktinya, Ramesh Babu berasal daripada sebuah keluarga susah tetapi kini mampu memiliki lebih daripada 400 kenderaan dan kebanyakannya adalah jenama kereta mewah seperti BMW, Jaguar dan Rolls-Royce.

Diberikan julukan Billionaire Barber, beliau sebaliknya bekerja keras untuk mencapai tahap jutawan. Berbeza dengan kebanyakan jutawan yang ada pada generasi sekarang, Ramesh tidak bergelar jutawan kerana beliau dilahirkan dalam keluarga senang.

Bapanya iaitu P Gopal bekerja sebagai seorang tukang gunting rambut dan beliau meninggal dunia ketika Ramesh berusia tujuh tahun. Mendiang meninggal dunia tanpa meninggalkan apa-apa wang simpanan kepada isteri dan tiga orang anaknya melainkan sebuah kedai gunting rambut kecil di Bengaluru.

Selepas pemergian mengejut mendiang suaminya, ibu Ramesh tidak mampu menyambung perniagaan itu sebaliknya beliau menyewakan kedai gunting rambut tersebut pada RS 5 (RM0.28) sehari. Keluarga Ramesh hanya mampu makan sekali sehari.

Untuk menyara tiga orang anaknya, beliau bekerja sebagai pembantu rumah dan menerima kira-kira Rs 40 (RM2.27) sehingga Rs 50 (RM2.84) sebulan. Wang itu kemudiannya digunakan untuk menampung semua perbelanjaan keluarga termasuk pakaian, buku dan yuran anak-anaknya.

Bagaimana Ramesh bergelar jutawan?

Antara pekerjaan yang pernah Ramesh lakukan untuk membantu ibunya menyara keluarga adalah penghantar surat khabar dan membuat penghantaran susu ke rumah. Ramesh turut melakukan pelbagai kerja yang bersesuaian dengan umurnya iaitu 13 tahun pada waktu itu.

Ramesh tidak melanjutkan pengajian selepas tahap 10 (matrikulasi atau sekolah menengah) sebaliknya membuat keputusan untuk menyambung perniagaan kedai gunting rambut milik mendiang bapa.

Ramesh sentiasa memasang impian untuk memiliki sebuah kereta. Dengan bantuan datuknya dan juga hasil simpanannya, Ramesh berjaya memiliki kenderaan pertamanya iaitu Maruti Suzuki Omni pada tahun 1997.

Selepas membeli kereta itu, Ramesh pada mulanya hanya mahu menggunakan van berkenaan untuk kegunaan sendiri. Memandangkan van tersebut jarang digunakan kerana Ramesh terlalu sibuk di kedai gunting rambut, Maruti Suzuki Omni beliau sering disewakan.

Bermula dari situ, Ramesh mula sedar bahawa ada permintaan tinggi untuk kenderaan sewa di kawasannya. Beliau pun mula mengumpul lebih banyak kenderaan untuk disewa.

Untuk pengetahuan anda, Ramesh kini memiliki sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan lebih 400 jenis kereta mewah, van dan bas mini untuk disewa,

Syarikat beliau turut menawarkan khidmat sewaan kereta mewah berserta pemandu. Antara kenderaan mewah yang beliau miliki adalah Rolls-Royce Silver Ghost, Mercedes-Benz kelas E, C dan S, BMW siri 5, 6 dan 7.

Walaupun berstatus jutawan, Ramesh tidak mahu melupakan asal usulnya. Atas sebab itu, beliau masih lagi bekerja sebagai tukang gunting rambut dan menghabiskan masa sekurang-kurangnya lima jam di salonnya setiap hari.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca