Tukang Gunting Dan Pendandan Rambut Digalak Untuk Jalani Ujian COVID-19 Secara Sukarela – Persatuan

Tukang gunting, pendandan rambut dan pengusaha salun digalakkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 secara sukarela bagi meyakinkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan mereka selepas dibenarkan mula beroperasi semula Rabu depan.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) iaitu TN Winda Mohd Tahir berkata langkah itu merupakan nilai tambah yang mampu memberi keyakinan lagi kepada pelanggan, di samping pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada yang lain seperti penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka dan juga penggunaan cecair pensanitasi tangan.

Menyedari kos tersebut agak tinggi, beliau berharap sekiranya bantuan dalam bentuk subsidi atau penajaan diberi oleh kerajaan atau mana-mana pihak untuk membantu golongan pengusaha ini yang rata-ratanya terkesan dari segi kewangan selepas tidak dibenarkan beroperasi selama beberapa bulan.

“Pekara ini lebih meyakinkan masyarakat di luar sana tetapi memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi, persatuan berharap kalau-kalau ada pihak yang sudi untuk membantu pengusaha supaya mereka disahkan tahap kesihatannya,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, kebanyakan daripada pengusaha kedai rambut pada masa ini telah bersiap sedia dengan kaedah janji temu menggunakan pelbagai aplikasi termasuk WhatsApp bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dalam satu masa di premis mereka.

Tambah TN Winda, persatuan-persatuan kedai gunting rambut dan salun juga sedang berusaha mendapatkan bantuan khas daripada kerajaan memandangkan hampir tiga bulan terpaksa berhadapan kerugian kerana tidak dapat beroperasi sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Presiden Persatuan Pendandan Malaysia iaitu Michael Poh pula menjelaskan bahawa sektor perkhidmatan gunting dan dandanan rambut sebenarnya tidak berisiko tinggi dan lebih selamat untuk beroperasi berbanding dengan sektor lain sekiranya SOP dipatuhi dengan konsisten.

“Ia adalah bagus untuk industri dandanan rambut, jika kita tidak buka, kita akan mati dan tidak boleh hidup, banyak syarikat akan tutup dan kami akan kehilangan pekerjaan. Jika patuh dengan SOP, ia tidak menjadi masalah.

“Tujuh persatuan telah bersepakat dan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk pembukaan semula dan kerajaan telah mendengar suara kami, ia adalah perkara yang baik,” ujarnya.

Tujuh persatuan tersebut adalah Persatuan Pendandan Malaysia; Persatuan Pendandan Bumiputera; Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera; Persatuan Pembangunan Kemahiran Dandanan Rambut; Persatuan Pemerkasaan Jurugaya Rambut India Malaysia; Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia dan Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Persekutuan.

Seorang pengusaha kedai gunting rambut ‘Substract Barbershop’ di Taiping, Perak iaitu Syadzwan Rosli lega kedainya dibenarkan beroperasi kembali. Dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk mematuhi SOP yang ditetapkan, malah sanggup untuk menjalani saringan COVID-19 sekiranya diwajibkan ke atas mereka.

“Saya sangat setuju kedai gunting dapat beroperasi semula kerana kami sudah lama tidak boleh beroperasi sejak PKP dilaksanakan dan banyak komitmen perlu dibayar.

“Cuma harapan saya, sekiranya perlu menjalani ujian berkenaan lebih elok sekiranya dibenarkan kami untuk membuat ujian ini di hospital kerajaan, sekurang-kurangnya dapat buat percuma, sebelum kami memulakan kembali operasi kedai masing-masing,” katanya.

Kebenaran ke atas operasi perkhidmatan gunting rambut ini pastinya berita baik untuk orang ramai. Diharapkan semua pihak dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan dengan konsisten dan tidak sesekali melanggarnya.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca