“Tuhan Takkan Tanya Berapa Anggota BTS Di Akhirat Nanti”, Ini Respons Alif Satar Terhadap Kecaman BTS Army

Baru-baru ini, pelakon dan pengacara terkenal tanah air iaitu Alif Satar dikecam teruk oleh peminat kumpulan ikonik K-pop, BTS gara-gara kenyataannya semasa menjadi hos rancangan Big Stage 2019.

Pada malam separuh akhir rancangan itu, salah seorang peserta iaitu Han Byul telah mempersembahkan lagu berjudul Boy With Luv yang asalnya dinyanyikan oleh BTS.

Peminat-peminat BTS atau lebih dikenali sebagai BTS Army meradang apabila Alif menyebut lagu itu asalnya dinyanyikan oleh lapan orang. Mereka barangkali naik angin dengan kenyataan itu kerana kumpulan BTS cuma dianggotai oleh tujuh orang iaitu Jungkook, RM, Suga, V, Jimin, Jin dan J-Hope.

Walau bagaimanapun, Boy With Luv secara harfiahnya dinyanyikan oleh lapan orang memandangkan Halsey turut tampil dalam lagu tersebut.

Alif turut memuat naik satu foto di akaun Instagramnya dengan kapsyen, “Reaksi bila geng-geng BTS kecam kau bila kau cakap, ‘Lagu ini lapan orang nyanyi tau’. Sila bahas, Boy With Luv berapa orang nyanyi?”

Tinjauan kami di ruangan komen mendapati bahawa ia dihujani dengan kecaman daripada BTS Army yang tidak mahu kalah. Malah, ada segelintir daripada mereka yang cuba memperbetulkan ‘kesilapan’ Alif.

Apabila diminta mengulas berkenaan kecaman hebat yang diterima itu semasa ditemu ramah Harian Metro, Alif mengeluarkan satu kenyataan yang cukup pedas dan ‘deep’.

“Tak perlu terlalu taasub dengan artis. Nanti di akhirat, takkan ditanya pun nama setiap anggota kumpulan yang anda taasubkan itu,” kata Alif.

Menurutnya lagi, dia sendiri faham rasa minat mendalam terhadap seseorang selebriti. Namun begitu, janganlah kerana sebab itu sampai berlaku pergaduhan.

“Instagram tak sepatutnya menjadi tempat yang terlalu serius. Saya faham bagaimana rasanya meminati seseorang artis kerana saya sendiri pun peminat fanatik Datuk Seri Siti Nurhaliza.”

“Tapi, dalam pada kita meminati seseorang artis atau kumpulan seperti BTS ini, janganlah sampai berlaku pergaduhan. Jangan jadi terlalu sensitif dan taasub,” jelasnya.

Alif juga melihat situasi yang sedang dihadapinya itu (dikecam BTS Army) sebagai satu perkara yang cukup lucu.

“Bagi saya secara peribadi, apa yang berlaku itu sangat kelakar. Ada yang menghentam dan ada juga segelintir daripada BTS Army yang menyokong saya kerana mereka tahu, saya tak sebut benda salah pun,” katanya.

Ada betulnya juga apa yang diperkatakan oleh Alif. Nak minat itu tak salah tetapi janganlah terlampau taasub. Lagi pun, kenyataan yang dikeluarkan Alif sendiri adalah perkara betul. Lagu itu memang dinyanyikan oleh lapan orang. Takkan Halsey bukan manusia pula sehingga tidak dikira sebagai penyanyi?

Artikel Lain Untuk Di Baca