Tudung Rekaan Wanita Malaysia Ini Mendapat Perhatian Di UK

Nama Dr. Eliesmaziah Elias, 45, semakin disebut-sebut apabila cerita tentang kejayaannya mencipta tudung untuk kegunaan polis wanita Muslim di United Kingdom mendapat liputan pihak media beberapa hari yang lalu.

Menurut wanita yang berasal dari Melaka ini, ia bermula di satu pameran di UK, apabila beliau mengambil inisiatif bertemu dengan beberapa pihak polis ketika itu.

“Saya lihat material pakaian seragam mereka tidak sesuai dan praktikal untuk anggota polis. Kami berbincang dan daripada situlah, saya mula berhubung dengan pihak atasan polis di United Kingdom,” katanya kepada rakan media di Harian Metro.

Tudung berjenama MoreSlim itu menggunakan jenis fabrik ringan, anti-bakteria dan anti-peluh yang sesuai digunakan untuk tempoh panjang, sesuailah dengan anggota polis yang lasak berkhidmat.

Ia juga mempunyai pengesahan ISO (International Organization for Standardization) EN (European Standard) dan AATCC (America Association of Textile Chemist and Colorists).

Sejak digunakan secara rasmi pada bulan Oktober lalu oleh polis Muslimah barisan hadapan, sebulan kemudian Dr Elies diminta untuk mereka pula untuk polis Muslimah di unit taktikal.

Akui Dr Elies, beliau gembira kerana kepakarannya dan ilmunya dalam bidang ini dihormati. Selain itu, ada cerita yang membuatkan hati beliau tersentuh.

Beliau dihubungi oleh seorang bos di salah satu kontinjen polis UK yang banyak berbincang mengenai pakaian yang sesuai untuk polis wanita Islam terutama tudung.

Tudung rekaannya bukan hanya mendapat perhatian pihak polis UK, malah pihak bomba wanita Muslim di sana.

Beliau yang kini menetap di Manchester, UK berharap dapat memanfaatkan rekaanya juga buat pasukan polis, tentera dan anggota keselamatan lain di Malaysia.

Sumber:
Harianmetro

Artikel Lain Untuk Di Baca