Tudung Cepat Pudar Dan Rosak? Ini Adalah Cara Menjaga Tudung Dengan Betul

Bagi wanita berhijab, semestinya mereka mempunyai koleksi tudung yang banyak. Contoh seperti tudung untuk acara rasmi, tudung untuk menyambut hari perayaan dan juga tudung untuk pakai hari-hari. Namun tahukah anda, jika anda tidak menjaga tudung anda dengan betul, tudung tersebut akan mudah pudar dan juga rosak. Berikut adalah cara penjagaan tudung supaya tudung tidak pudar dan juga tidak mudah rosak.

1. Rendam dengan cecair pencuci pakaian

Tudung hendaklah dicuci dengan tangan sekiranya anda tidak mahu tudung anda rosak. Mula-mula sekali anda hendaklah merendam tudung anda dengan cecair pencuci pakaian untuk menanggalkan kotoran yang melekat pada tudung. Anda boleh rendam tudung anda selama 15-30 minit.

2. Elakkan basuh tudung menggunakan mesin basuh

Kebanyakkan tudung diperbuat daripada fabrik lembut. Oleh sebab itu, basuh tudung menggunakan tangan adalah lebih baik berbanding menggunakan mesin basuh. Hal ini adalah untuk mengelakkan fabrik kain itu daripada merenggang.

3. Jangan mendedahkan tudung kepada cahaya matahari yang terik

Tudung tidak boleh diletakkan atau dijemur di bawah cahaya matahari yang terik dalam tempoh masa yang lama. Jika anda menjemur tudung di bawah cahaya matahari yang terik dalam masa yang agak lama, warna pada tudung akan menjadi pudar dan fabrik menjadi rapuh.

4. Tudung digosok dengan suhu yang sesuai

Terdapat pelbagai jenis tudung yang berlainan jenis fabrik. Jadi anda harus tahu suhu yang sesuai dengan fabrik tersebut. Untuk fabrik jenis chiffon dan silk, kainnya memang lembut, jadi anda perlu lebih berhati-hati menggosok dengan menggunakan suhu yang tidak terlalu panas untuk elakkan tudung daripada terbakar. Lebih bagus jika menggunakan iron stim dengan suhu yang sederhana.

5. Jangan sental terlalu kuat

Mencuci dengan cara kaedah ramas menggunakan tangan dengan lembut adalah lebih baik. Elakkan menyental dengan terlalu kuat atau menggunakan berus yang kasar. Terutamanya pada fabrik jenis pashmina dan satin. Perkara ini kerana, fabrik tersebut mudah rosak atau berbulu. Jika ada kotoran, rendam tudung dengan sabun selama 15-30 minit dan gunakan berus lembut atau gunakan tangan. Kemudian, gosok perlahan-lahan sehingga kotoran hilang.

6. Jangan campurkan tudung dengan kain yang lain

Walau bagaimanapun, jika anda sibuk dan tidak mempunyai masa untuk basuhan tangan. Anda boleh mencuci menggunakan mesin basuh tetapi pastikan gunakan tetapan ‘delicate’. Cuci bersama tudung sahaja dan jangan sesekali mencampurkannya dengan kain atau pakaian lain. Anda juga boleh menggunakan bekas berjaring supaya fabrik tidak rosak.

7. Simpan tudung dengan cara yang betul

Simpan tudung di tempat yang kering dan tidak lembab. Jangan simpan di tempat yang panas dan terdedah kepada cahaya matahari. Anda boleh melipat atau guna kaedah gantung menggunakan penyangkut khas, tetapi pastikan mengikut jenis-jenis tertentu. Kalau jenis bawal dan shawl tiada masalah untuk anda melipatnya. Tetapi, sebaiknya gantung tudung yang ada awning untuk elakkan awning tersebut rosak.

Penulis:

  • Nor Zawani Binti Kamarudin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi
  • Prof Madya Dr Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca