Pemberian tuala wanita secara percuma dimulakan di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) adalah untuk melihat aspek pengoperasian serta maklum balas segera terhadap inisiatif itu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menjelaskan sekiranya pemberian itu berjaya, ia akan diperluaskan ke fasiliti kesihatan yang strategik dan membabitkan orang awam.

“Saya mengambil maklum di atas kekeliruan dan berterima kasih atas pandangan orang ramai berhubung kenyataan saya yang menyentuh pemberian tuala Wanita secara percuma di Ibu Pejabat KKM.
“Inisiatif ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh memberi impak yang besar untuk menangani isu kemiskinan haid, apatah lagi ia sangat bertepatan dengan kesihatan menstrual dan sistem reproduktif wanita,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dr Zaliha mengumumkan KKM bakal memulakan inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma bagi menangani isu kemiskinan haid di negara ini.
Sebagai permulaan, katanya, inisiatif itu akan mula dilaksanakan di Pejabat Menteri di Bangunan KKM dalam tempoh terdekat.
Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi terhadap usaha berkenaan.

Tidak kurang juga kritikan daripada Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mempertikaikan kerajaan memulakan program pemberian tuala wanita percuma di tandas Pejabat Menteri Kesihatan.
Beliau berkata mereka yang memerlukan tuala wanita itu adalah golongan wanita tidak berkemampuan bukannya yang bekerja di Pejabat Menteri Kesihatan.
Untuk membaca artikel berkaitan, anda boleh klik pautan di bawah: