[Trailer] Najib Razak Dan Rosmah Mansor Bakal Muncul Dalam Siri Dokumentari ‘Dirty Money’ Di Netflix

Semalam, trailer bagi siri dokumentari Netflix yang berjudul Dirty Money Musim Kedua telah dimuat naik di laman YouTube. Apa yang mengejutkan sesiapa sahaja yang menonton trailer tersebut adalah penampilan bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut kelihatan dalam seni wayang itu.

Video yang berdurasi satu minit 47 saat itu memaparkan dakwaan salah laku rasuah yang dihadapi mereka berdua sebelum ini.

Terdahulu, Najib dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. Rosmah pula berdepan dengan tiga pertuduhan rasuah mencecah ratusan juta ringgit melibatkan projek solar hibrid untuk membekalkan kuasa elektrik kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau didakwa bersubahat untuk menerima rasuah sebanyak RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Berbalik kepada siri penyiasatan Dirty Money, ia berkisar tentang skandal perbankan, skim hartanah, pembuangan sisa toksik plastik dan bagaimana ketamakan korporat meletakkan orang awam dalam keadaan bahaya.

“Dirty Money akan membawakan pandangan yang lebih jelas mengenai kisah di sebalik skandal, salah laku kewangan dan korupsi dalam dunia perniagaan.”

“Musim ini akan menampilkan kes seperti empayar hartanah Jared Kushner, skandal perbankan Wells Fargo dan kes korupsi 1MDB,” jelas Netflix seperti yang dilaporkan The Star.

Semasa artikel ini ditulis iaitu selepas 13 jam trailer tersebut diterbitkan, ia berjaya meraih hampir 50,000 tontonan.

Tinjauan kami di ruangan komen mendapati kehadiran Najib dan Rosmah dalam trailer itu mendapat perhatian ramai. Berikut kami kongsikan beberapa komen daripada warganet:

“Saya nampak Najib Razak, saya terus klik,” tulis M Farhan.

“Malu apa bossku!” coret seorang pengguna di sebalik akaun bernama ariffred01.

“Saya tak pernah klik sepantas ini. Semua sebab Najib!” tulis Sinorita Ng.

“Bila saya nampak muka Najib dekat thumbnail, saya terus langgan Netflix,” akui Cornell Benefield.

Bagi anda yang tidak sabar untuk melihat bagaimana skandal-skandal kewangan terbesar dunia ini dirungkai, jangan lupa untuk tonton musim kedua siri Dirty Money di Netflix pada 11 Mac nanti.

Sebelum ini, kami pernah kongsikan pengalaman seorang penulis lakon layar dan produser yang menulis untuk Netflix. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca