Tragedi Kapal Terbang Yang Pernah Berlaku Dalam Sejarah Dunia

Tragedi pesawat terhempas bukanlah perkara biasa, malah ia merupakan insiden yang paling mengerikan kerana peluang untuk para penumpang terselamat adalah sangat tipis. Statistik menunjukkan bahawa kadar untuk para penumpang terselamat adalah hanya sebanyak 24 peratus berdasarkan sumber yang penulis perolehi. Terdapat beberapa tragedi ngeri pesawat terhempas yang telah menggemparkan dunia.

1. Bencana Lapangan Terbang Tenerlife

Pada tanggal 27 Mac 1977, seramai 583 orang telah terkorban dalam kemalangan melibatkan dua pesawat di Lapangan Terbang Tenerlife. Pelanggaran ini berlaku di darat disebabkan oleh kesilapan juruterbang. Kedua-dua pesawat merupakan pesawat Boeing 747 yang dimiliki oleh Koninklijke Luchtvaart Maatschappij (KLM) atau lebih dikenali sebagai Royal Dutch Airlines manakala pesawat yang lagi satu adalah milik Pan Am American Airways (Pan Am).

Terdapat sebuah bom dilaporkan telah diletakkan di kedai bunga lapangan terbang Las Palmas, jadi tiada satu pun pesawat yang dibenarkan berada di sana. Kedua-dua pesawat terbabit ditukarkan haluan ke Los Rodeos yang sepatutnya tiada pesawat dijadualkan berada di sana. Pelanggaran berlaku apabila Pan Am sepatutnya melalui jalan keluar ketiga iaitu C3. Tetapi, juruterbang tersalah landasan dengan pergi ke C4 kerana menyangka ia adalah landasan C3. Manakala pesawat KLM pula berlepas tanpa kebenaran yang sah.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila kabus tebal menghalang penglihatan kedua pesawat itu. Pan Am yang sedang melakukan pelepasan terlihat pesawat KLM 747 keluar daripada kabus. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh kedua-dua pesawat tersebut lalu dengan sekelip mata pesawat Pan Am merempuh pesawat KLM 747. Insiden ini menyebabkan kesemua penumpang dan krew KLM terbunuh manakala 7 daripada 16 krew dan 54 daripada 380 penumpang Pan Am terselamat.

2. Japan Airlines Flight 123

Bertarikh 12 Ogos 1985, seramai 520 orang telah maut setelah pesawat Boeing 747 milik Japan Airlines terhempas ke gunung Takamagahara di tengah-tengah Jepun. Apa yang lebih mengejutkan, 4 orang terselamat apabila pesawat ini berpusing tanpa kawalan menyebabkan sayap kapal terbang berlanggar rabung gunung sebelum terbalik dan mendarat pada belakang pesawat.

Juruterbang pada mulanya dapat mengawal kapal terbang dan terus memastikan pesawat berada di udara selama 32 minit selepas kegagalan mekanikal, masa yang tidak pernah menyamai simulator penerbangan.

Hari ini, terdapat kuil memorial di atas gunung tersebut bagi memperingati bencana yang berlaku selain terdapat muzium dibuka oleh syarikat penerbangan. Di situ juga terdapatnya nota atau surat terakhir yang ditulis oleh penumpang kepada orang tersayang.

Kesemua staf syarikat tersebut wajib pergi ke muzium tersebut untuk melihat surat-surat ini. Kesemua yang terselamat adalah wanita yang berada di tengah-tengah barisan kapal terbang ketika kemalangan berlaku.

3. Saudi Arabian Airlines Flight 769 & Kazakhstan Airlines Flight 1907

Pada 12 November 1996, telah direkodkan seramai 349 orang telah terkorban selepas terlibat dalam pelanggaran udara terburuk yang pernah berlaku melibatkan Pesawat Saudi 769 dan Pesawat 1907 – Kazakhstan Airlines di bandar Charkhi Dadri utara India. Kapal terbang Saudi jenis Boeing 747 dalam perjalanan ke Dhahran dari Delhi manakala pesawat Kazakhstan Airlines jenis Ilyushin II-76 dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Indira dari Shymkent. Pelanggaran ini membunuh 312 orang di atas pesawat dan kemudiannya 37 lain turut terbunuh.

Kemalangan ini berlaku apabila pesawat Ilyushin sepatutnya mendarat sehingga 15,000 kaki tetapi ia melebihi had ke 14,500 kaki manakala Boeing 747 dalam perjalanan ke arah atas di arah yang berlawanan. Ketika pengawal trafik memberi amaran kepada kedua-dua kapal terbang, ia sudah terlambat. Ekor kapal terbang Kazakhstan memotong sayap pesawat Saudi menyebabkan pesawat Saudi berpusing dengan sangat laju manakala Ilyushin bergerak sedikit perlahan berbanding Boeing 747 tetapi masih cukup laju untuk menyebabkan juruterbang hilang kawalan untuk mendarat.

4. Turkish Airlines Flight 981

Sejumlah 346 orang telah maut dalam nahas kapal terbang Turkish Airlines Flight 981 yang berlaku pada tanggal 3 Mac 1974. Kelemahan reka bentuk kapal terbang jenis Douglas DC-10 membawa padah apabila kesemua 355 penumpang dan 11 krew terkorban kerana pesawat ini terhempas di Hutan Ermenonville di utara Paris. Kapal terbang ini berlepas dari Lapangan Terbang Orly di Paris dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Heathrow, London. Perjalanan sebenar ialah dari Istanbul dan Paris hanyalah perjalanan transit.

Selepas 10 minit berlepas, pintu kargo kiri kapal terbang tercabut akibat daripada masalah bagaimana ruang pintu selak ditutup. Disebabkan masalah mekanisme kunci bagi pintu ini, kapal terbang menghala ke darat dengan kelajuan 800 km/h setelah juruterbang hilang kawalan. Ini merupakan insiden kapal terbang terhempas terburuk di Perancis dan kedua di Eropah.

5. Malaysia Airlines Flight MH17

Pada tanggal 17 Julai 2014, satu berita yang menggemparkan negara serta seluruh dunia apabila pesawat Malaysia Airlines jenis Boeing 777-200 ditembak jatuh berdekatan sempadan Russia oleh peluru berpandu dan ia telah meragut sebanyak 298 nyawa. Pesawat ini dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam dan melalui kawasan penerbangan Ukrain. Menurut maklumat yang dikeluarkan, kesemua 298 penumpang yang tidak bersalah ini terbunuh kerana sewaktu itu peperangan antara pemberontak pemisah dengan kerajaan Ukrain sedang berlaku. Peperangan ini dikenali sebagai Peperangan Donbass.

Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa pernah memberi amaran supaya mengelakkan laluan udara Ukrain kerana dikhuatiri perkara yang tidak diingini akan berlaku semasa melalui laluan tersebut.

Penulis:

  • Asmaidatullisa binti Md Misdar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi

Sumber:
Iluminasi

Artikel Lain Untuk Di Baca