Tragedi 5 Pelajar Rentung, Pemandu Treler Itu Didapati Ada 22 Saman

Pemandu treler yang membawa muatan besi pagar dan menyebabkan kemalangan maut di KM245.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Kuala Kangsar, Perak dua hari lalu telah direman selama empat hari bermula 12 Mei 2022 bagi membantu siasatan.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar iaitu Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata reman ke atas pemandu berusia 28 tahun itu dibuat sehingga Ahad ini untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Omar berkata kepada Bernama, “Siasatan polis mendapati pemandu treler itu mempunyai 22 saman. Daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan kesalahan pandu laju.”

Lima mangsa yang rentung dalam kemalangan itu merupakan rakan serumah dan juga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar.

Mereka ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar yang memandu kereta, penumpang hadapan Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis serta Iqbal Hasnun Halimi yang duduk di bahagian penumpang belakang.

Bernama melaporkan siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan mozek datang dari arah selatan menghala ke utara itu memandu di lorong kanan. Lorong kiri laluan dari KM246 sehingga KM244.4 ditutup bagi penyelenggaraan jalan pada waktu itu.

Kereta Honda City yang dinaiki kelima-lima pelajar itu sedang mengekori di belakang treler berkenaan pada masa yang sama dengan memperlahankan kenderaan.

Walau bagaimanapun, sebuah lagi treler yang membawa muatan besi pagar datang secara tiba-tiba dari arah sama di belakang kereta itu. Pemandu treler itu tidak sempat membrek dan mengelak kereta berkenaan lalu telah merempuh bahagian belakang kenderaan itu.

Treler itu kemudiannya menyeret kereta itu ke hadapan sehingga ia melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca