Syarikat konsesi lebuh raya utama di Malaysia, Touch ‘n Go (TnG) telah mengumumkan di laman web rasmi mereka, www.touchngo.com.my bahawa syarikat tersebut telah menghentikan penjualan alat peranti SmartTAG dengan serta-merta. Alat peranti infrared tersebut yang mula diperkenalkan di pasaran sejak tahun 1999 akan digantikan dengan pelekat RFID (Radio Frequency Identification). Pelekat RFID ini akan mula dilancarkan pada bulan Januari tahun hadapan.
RFID adalah satu sistem pembayaran tol elektronik baharu yang telah digunakan secara meluas di negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Argentina, dan Taiwan. Setiap pelekat RFID mengandungi sebuah cip frekuensi radio di mana setiap pelekat tidak boleh dipindah milik. Pelekat RFID akan dihubungkan dengan aplikasi Touch ‘n GO e-Wallet – satu aplikasi yang membolehkan pengguna untuk memantau baki akaun serta membolehkan pengguna melakukan transaksi tambah nilai secara atas talian. Dengan pelekat RFID, bayaran tol akan ditolak terus dari akaun Touch ‘n Go e-Wallet pengguna. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple Apps Store.
Sehubungan dengan itu, Touch ‘n Go akan menjalankan fasa percubaan RFID bagi pengguna awam bermula pada 3 September 2018. Penyertaan fasa percubaan ini hanya terbuka kepada pengguna lebuh raya sekitar kawasan Lembah Klang yang memandu kenderaan milik persendirian sahaja (semua kenderaan kelas 1 – kereta, van, jip, trak pikap). Berminat untuk mendaftar sebagai pengguna awal RFID? Anda boleh isikan butiran permohonan di sini.
“Saya sudah memiliki alat peranti SmartTAG. Adakah alat peranti tersebut sudah tidak boleh diguna pakai di mana-mana plaza tol?”
Jangan khuatir. Penamatan penjualan alat peranti SmartTAG tidak memberi kesan kepada penggunaannya. Anda masih boleh menggunakan alat peranti SmartTAG anda untuk pembayaran tol di kesemua plaza tol sehingga sebarang pemberitahuan daripada pihak Touch ‘n Go kelak.
Untuk maklumat lanjut berkenaan RFID, anda boleh lawati laman web rasmi Touch ‘n Go.
Kredit: paultan.org, lowyat.net, dan laman web rasmi Touch ‘n Go.