Juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Real Madrid berada di ranking ke-6 dalam senarai penonton paling ramai hadir semasa perlawanan di gelanggang sendiri untuk musim 2017/18 dengan catatan 1,257,059 orang penonton di Santiago Bernabeu. Ia dipengaruhi faktor Real Madrid yang layak ke perlawanan akhir UCL pada musim lalu. Jika mereka berjaya mara ke separuh akhir Copa Del Rey, Real Madrid mampu untuk berada di ranking 3 teratas senarai ini.
Manchester United walaupun biasa-biasa saja pada musim lepas tetap bergaya mendahului senarai dengan agregat (jumlah keseluruhan) kehadiran penonton tertinggi iaitu seramai 1,424,544 orang. Ia agak mengagumkan jika mengambil kira kapasiti Old Trafford sebagai stadium yang hanya ke-13 terbesar di Eropah dengan muatan 74,994 orang.
Enam kelab daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) tersenarai dalam 15 teratas ranking ini, sementara La Liga dan Bundesliga kedua-duanya mempunyai tiga pasukan. Faktor populariti EPL diyakini banyak memainkan peranan dalam mempengaruhi senarai ranking ini. Tiga daripada enam pasukan EPL dalam senarai ini iaitu Manchester United, Arsenal dan Liverpool diketahui umum mempunyai ramai pengikut dan pengaruh mereka yang besar itu sangat membantu dalam menarik ramai penyokong ke stadium.
Borussia Dortmund yang terkenal dengan penyokong mereka yang hardcore dan sangat fanatik menyusul Manchester United di tempat ke-2 walaupun jika dikira secara purata kehadiran penonton bagi setiap perlawanan, Dortmund lebih baik jumlahnya iaitu seramai 79,496 orang setiap perlawanan berbanding Manchester United dengan hanya 74,976 orang. Secara congakan kasar, ia atas faktor pasukan Red Devils yang terlibat dengan lebih banyak perlawanan pada musim lalu, jadi jumlah penonton keseluruhan untuk sepanjang musim lalu juga lebih ramai bilangannya.
Tottenham Hotspurs berada di tempat ke-3, dengan faktor utamanya adalah kerana mereka bermain di Wembley Stadium yang berkapasiti 90,000 orang penonton pada musim lepas.
Itali mempunya 2 wakil dalam ranking ini yang mana menyaksikan Inter Milan di tempat ke-8 dan AC Milan di tempat ke-15. Juventus yang menjadi juara Serie A musim lalu tidak berjaya menyelit dalam senarai 15 pasukan ini. Mungkinkah faktor Cristiano Ronaldo bakal membawa lebih ramai penonton ke Allianz Stadium yang berpengkalan di Turin itu pada musim ini?
Dan mungkinkah juga faktor Cristiano Ronaldo turut menyebabkan jumlah keseluruhan juga purata kehadiran penyokong Real Madrid ke Santiago Bernabeu turut merosot?
Kami di I Am Lejen yakin, faktor nama besar dalam sesebuah pasukan adalah salah satu faktor yang mampu menarik dan menjadi ‘selling point’ dalam kutipan tiket dan jumlah kehadiran penyokong ke stadium. Baik di Liga Eropah, Liga Malaysia atau mana-mana liga sekali pun, pemain dengan reputasi besar dan hebat pastinya mampu membuat penyokong akan lebih teruja untuk ke stadium.
Sumber: The Sun UK