Tolak Patenkan Vaksin AstraZeneca Demi Selamatkan Jutaan Nyawa, Ini Kisah Sarah Gilbert

Profesor Sarah Gilbert adalah satu nama yang asing kepada sesetengah individu tetapi sumbangan beliau terhadap masyarakat di seluruh dunia memang tidak ternilai harganya.

Sumber: ITV

Sarah tidak mahu mengambil hak paten sepenuhnya ataupun memperoleh keuntungan untuk vaksin yang beliau cipta bersama pasukan saintisnya iaitu AstraZenecca kerana mahu memberi ruang kepada orang ramai yang mampu menghasilkan vaksin mereka sendiri untuk menggunakannya bagi melawan wabak COVID-19.

Sejak wabak COVID-19 menyerang seluruh dunia pada awal tahun lalu, para saintis dari institusi akademik dan syarikat farmaseutikal termasuk Sarah telah berlumba-lumba mengkaji dan mencari bahan-bahan terbaik untuk membuatkan dunia kembali ‘kebal’ daripada virus tersebut.

Selepas video beliau menerima tepukan gemuruh di kejohanan Wimbledon 2021 semasa menyaksikan perlawanan Novak Djokovic menentang Jack Draper, perhatian mula diberi kepada Sarah.

Berasal dari Northamptonshire di England, Sarah bekerja sebagai ahli vaksin di Jenner Institute yang merupakan sebahagian daripada Jabatan Perubatan Klinikal Nuffield di Universiti Oxford.

Sarah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sains biologi dari University of East Anglia yang terletak di Norwich, United Kingdom. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam program kedoktoran jurusan genetik dan biokimia di University of Hull, Yorkshire, England.

Sebelum beliau mencipta AstraZeneca, Sarah dikatakan terlibat dalam pengembangan beberapa jenis vaksin termasuk vaksin Ebola. Semasa dalam proses kajian untuk mengembangkan vaksin, beliau menerima laporan bahawa terdapat empat orang dengan radang paru-paru di China pada malam Tahun Baru 2020.

Sarah mula mengembangkan vaksin setelah menerima barisan patogen virus baharu yang dikenali sebagai COVID-19 tidak lama selepas itu. Vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19 akhirnya menerima kelulusan Kumpulan Vaksin Oxford pada 30 Disember 2020. Selain itu, mereka berjaya dapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membenarkan penggunaan vaksin itu di seluruh dunia.

Walaupun dunia berada dalam keadaan terdesak dan banyak negara bersedia membayar jutaan dolar untuk membeli paten vaksin COVID-19, Sarah tidak menganggap hak paten sebagai caranya untuk menjadi kaya.

“Saya tidak mahu mengambil hak paten sepenuhnya kerana mahu berkongsi harta intelek dengan semua individu yang mampu menghasilkan vaksin mereka sendiri untuk mengatasi wabak COVID-19,” ujarnya.

Atas sebab itu juga, Oxford dan AstraZeneca mencapai kata sepakat untuk tidak mengambil apa-apa keuntungan daripada vaksin itu.

Dalam pada itu, kejayaan Sarah telah melayakkan beliau mendapat gelaran bangsawan daripada kerajaan England. Beliau telah dianugerahkan dengan pingat Dame Commander of the Most Excellent Order of the British Empire (DBE). Selain itu, Sarah juga menerima Anugerah Puteri Asturias di Sepanyol untuk kategori penyelidikan ilmiah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan vaksin, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca