Ibu kepada pelakon cilik, Puteri Balqis yang dikenali sebagai Norashikin Mohd Aziz dilaporkan menolak untuk menerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ingin diusahakan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) melalui projek Perumahan Seni Harapan.

Menurut Norashikin, dia berat hati untuk menerima bantuan susulan merasakan masih ramai individu lain yang lebih memerlukan.
“Saya berterima kasih atas usaha Seniman tetapi saya sebenarnya berat hati. Jadi, saya terpaksa menolak. Bagi saya, ramai lagi yang lebih layak. Sampai bila orang nak bantu kami? Sampai satu tahap nanti orang pun akan bosan nak bantu,” ujarnya.
Tambah Norashikin lagi, dia tidak mahu terhutang budi dengan mana-mana individu dan lebih senang berusaha sendiri mencari nafkah buat keluarga.
Selain itu, Norashikin juga telah menolak bantuan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang mahu membayar sewa bulanan rumah mereka.
“Saya sudah tolak LZS, namun, mereka masih mau memberi bantuan RM300 sebulan. Ia buat saya serba salah. Saya merasakan lebih ramai lagi orang yang memerlukannya. Saya tidak mahu menjadi malas kerana terus dibantu.”

Sebelum ini, presiden Seniman Zed Zaidi memaklumkan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) yakni Ahmad Idham Nadzri sedang berlaku. Hal ini adalah untuk membincangkan jalan penyelesaian terbaik bagi membantu keluarga Puteri Balqis.
Norashikin menambah lagi, dia kini masih menjual buku puisi bertajuk 38 Poems of Puteri Balqis. Malah, dia juga sibuk membuat penghantaran secara kiriman pos dan cash on delivery (COD).
“Saya minta maaf sekiranya tidak sempat membalas mesej. Saya pernah tidak tidur selama dua hari sebab hendak periksa mesej pesanan buku,” katanya.
Kata Norashikin, masih ramai individu yang mahu memberikan sumbangan kepadanya tanpa membeli apa-apa buku.

Berbicara mengenai buku yang dijual, Norashikin berkata, sebanyak 1,000 naskah harus dijual susulan ia sudah dicetak.
“Dahulu hendak jual 30 buku susah, tapi, selepas Aqish (Puteri Balqis) muncul di Harian Metro dan Bersamamu, ramai yang memesan untuk membelinya.”
Ujar ibu kepada pelakon cilik itu lagi, sebaik sahaja buku itu habis dijual, edisi Bahasa Melayu pula akan menyusul ekoran permintaannya tinggi.

Sebelum ini, Puteri Balqis pernah tular di media sosial selepas kisah hidupnya yang kini hanya berdua bersama ibunya selepas wanita berkenaan berpisah dengan suaminya semenjak empat tahun lalu.
Untuk membaca artikel lain berkaitan Puteri Balqis, sila klik pada pautan di bawah: