TNB Rugi RM3.2 Juta Akibat Aktiviti Bitcoin

Sebanyak 33 premis di sekitar Kuantan, Pahang diserbu oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana disyaki melakukan pengusikan ke atas peti agihan elektrik untuk menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto Bitcoin sehingga menyebabkan TNB kerugian RM3.2 juta.

Pengurus Besar bagi Pemeteran dan Rangkaian Pengedaran TNB, Siti Sarah Johana Mohd Said berkata, hasil risikan pihaknya mendapati premis-premis tersebut terlibat dalam aktiviti perlombongan Bitcoin sejak enam bulan lalu.

“Ketika serbuan, TNB berjaya mengumpul bahan bukti daripada 23 premis yang menjalankan akitiviti perlombongan Bitcoin sementara 10 premis lagi berjaya menghidu operasi kali ini (dan) sudah menghapuskan bahan bukti,” katanya kepada pemberita di Wisma TNB Kuantan di sini, hari ini.

Serbuan Ops Bitcoin itu dilakukan bermula 10.30 pagi tadi yang melibatkan 30 pasukan khas dan lima anggota Jabatan Perkhidmatan Keselamatan TNB dengan menggunakan waran geledah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Aktiviti perlombongan Bitcoin itu melibatkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi yang menyebabkan pencurian bekalan elektrik berlaku untuk mengurangkan pembayaran bil dengan membuat sambungan pintasan daripada peti agihan elektrik secara terus ke dalam premis tanpa melalui meter.

Serbuan pertama TNB di Kampung Jaya Gading di sini mendapati premis Bitcoin itu tidak berpenghuni mencatat jumlah arus elektrik tidak bermeter sebanyak 1,500 Amp dan 3 Amp bermeter.

“Seperti yang kita lihat, arus 3 Amp bermeter itu hanya digunakan untuk satu lampu dan kipas. Namun, pembayaran bil hanya sebanyak RM219, sementara arus 1,500 Amp tidak bermeter yang digunakan sepatutnya dibayar RM108,000 sebulan,” katanya.

Perkara ini akan menyebabkan tuntutan bayar balik ke belakang akan dikenakan kepada pemilik akaun premis. Malah, terdapat banyak maklum balas pemilik yang tidak berpuas hati kerana tidak mengetahui aktiviti Bitcoin yang dijalankan di premis mereka.

Oleh itu, Suruhanjaya Tenaga menyeru pemilik premis agar memberi perhatian terhadap aktiviti yang dijalankan serta membuat pemindahan akaun sementara kepada nama penyewa.

Mata wang kripto itu membolehkan individu memindahkan nilai antara satu sama lain dan membayar bagi barangan dan perkhidmatan tanpa melalui bank-bank dan sistem kewangan arus perdana, namun ia tidak sah di Malaysia.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca