TMJ Hilang Sabar Dengan Safawi, Syifa Melvin Dikatakan Kemaruk Mahu Kahwin Dengan Bintang JDT Itu

Prestasi kurang konsisten bintang Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Safawi Rasid dikatakan berkait dengan teman wanitanya. Mereka dikatakan sedang hangat bercinta hingga pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hilang sabar ke atas pemain sayap itu.

JDT sudah mengharungi tiga aksi kompetitif musim ini termasuk aksi merebut Piala Sumbangsih menentang Kedah serta dua perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL). JDT memulakan kempen musim baharu dengan rentak positif.

Namun, ia belum cukup memuaskan hati Tunku Ismail terutamanya terhadap prestasi Safawi Rasid. Perkara ini kerana, Safawi merupakan tonggak utama pasukan dan harapan besar yang diletakkan ke atas bahu Safawi masih belum menjelma seperti mana aksi terbaiknya sepanjang musim lalu.

Menurut Tunku Ismail, kemerosotan mendadak pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu itu disebabkan oleh tekanan daripada kekasihnya yang juga pelakon, Syifa Melvin untuk berkahwin dengan Safawi.

Disebabkan perkara itu, Safawi dikatakan hilang fokus dalam perlawanan dan menyebabkan gagal memberi prestasi terbaik ketika di dalam padang.

Hantaran yang dimuat naik di Instagram Tunku Ismail itu menimbulkan situasi hangat.

“Kemaruk sangat paksa boyfriend kahwin. Beri tekanan setiap hari suruh boyfriend kahwin pasal takut terlepas, boyfriend kaya, popular.”

“Satu keluarga kemaruk cari lelaki kaya dari dulu. Patut makin hancur performance budak ini. Kepala dah tak ada dalam padang,” ujar Tunku Ismail di laman sosial Instagramnya.

“Tidak ada sesiapa yang lebih besar daripada kelab. Kalau kepala dah tak boleh fokus pasal asyik kena pressure setiap hari dipaksa kahwin. Semoga maju jaya.”

Tunku Ismail melalui satu lagi perkongsiannya menegaskan bahawa apabila seseorang itu mempunyai wang yang banyak, pasti ramai hendak berkawan dengannya.

Tunku Ismail juga berkongsi hantaran mengenai nilai perhubungan itu bukan kerana duit dan juga harta. TMJ menegaskan perhubungan perlulah telus dan memberi dorongan antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, Syifa Melvin menidakkan perkara ini dengan mengatakan dia tidak pernah memaksa Safawi untuk berkahwin dan juga meminta duit teman lelakinya itu melalui hantaran di Instagramnya. Tetapi hantaran itu telah dipadam.

Sejurus perkara ini berlaku, Safawi Rasid memuat naik hantaran di laman Instagramnya menyatakan permohonan maaf di atas apa yang terjadi. Dia juga berkata akan beri aksi yang terbaik selepas ini.

Diharapkan segala yang berlaku menemui jalan penyelesaian. Semoga Safawi kembali fokus dan memberikan komitmen yang terbaik untuk pasukan JDT dan juga pasukan kebangsaan.

Berikutan dengan kisah ini, Team Lejen Digital menyediakan satu video untuk tontonan semua.

Untuk baca artikel lain berkenaan sukan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca