Tipu Lebih RM245 Juta Wang Pelabur Forex, YouTuber Ini Didakwa Lari Ke Malaysia

Seorang YouTuber terkenal dari Thailand iaitu Natthamon Khongchak dikatakan telah berjaya melarikan diri ke Malaysia selepas dia didakwa menipu lebih 6,000 pelabur sebanyak dua bilion baht (RM245,495,228) melalui penipuan perdagangan pertukaran asing.

Memetik laporan The Straits Times, Phaisal Ruangrit iaitu seorang peguam yang membantu mangsa-mangsa penipuan berkata Natthamon ataupun turut dikenali sebagai Nutty’s Diary mengaku sebagai pelabur forex berjaya dan telah mengeksploitasi popularitinya dengan menjanjikan kepada pelabur-pelabur bahawa mereka akan memperoleh pulangan tinggi dalam masa yang singkat.

Sumber: Instagram @nutty.suchataa

Wanita itu kemudiannya memberi jaminan kepada para pelabur bahawa mereka akan menerima pulangan sebanyak 25 peratus untuk kontrak tiga bulan, 30 peratus untuk kontrak enam bulan dan 35 peratus untuk kontrak 12 bulan dengan pulangan akan dibayar setiap bulan.

Phaisal turut berkata salah seorang pelabur telah melabur sebanyak 18 juta baht (RM2,208,306) dengan YouTuber tersebut.

Walau bagaimanapun, para pelabur yang melabur dengan Natthamon mula membuat aduan pada April lalu bahawa mereka tidak menerima bayaran seperti yang dijanjikan.

Menerusi satu hantaran di Instagram pada 25 Mei lalu, Natthamon menjelaskan bahawa dia telah membuat kesilapan dalam pelaburan dan wang-wang yang dilaburkan telah ‘hangus’ tetapi dia berjanji akan membayar para pelaburnya semula.

Sumber: Instagram @nutty.suchataa

Pada 24 Jun, YouTuber itu mengumumkan bahawa dia telah menerima dua kes saman dan tidak mampu membayar pelabur-pelabur lain sekiranya dimasukkan ke dalam penjara.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa Natthamon dikatakan telah menawarkan wang ganjaran sebanyak 1 juta baht (RM122,933) kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat yang membawa kepada penahanan wanita itu. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca