Tipu Dirinya Positif COVID-19, JYJ Jaejoong Kini Dikecam Warganet

Umum mengetahui 1 April adalah hari yang sering dijadikan sebagai April’s Fool Day di mana orang ramai akan menipu untuk dijadikan sebagai bahan jenaka. Namun, masalah pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan ini menyebabkan rata-rata masyarakat tidak menyambutnya demi menghormati mereka yang menjadi mangsa.

Jaejoong, daripada kumpulan JYJ di Korea Selatan telah memuat naik hantaran di laman Instagram mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19. Penyanyi itu telah dimasukkan ke hospital dan memohon maaf kepada sesiapa yang telah berjangkit kerana dia.

Penyanyi itu turut menjelaskan bahawa dia dijangkiti wabak tersebut kerana sikap tidak endah dirinya terhadap perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Susulan hantaran itu, syarikat naungan beliau iaitu C-Jes Entertainment telah mengeluarkan kenyataan yang mereka baru sahaja terima maklumat itu dan akan dapatkan maklumat lanjut untuk pengesahan.

Berita ini mencuri perhatian orang ramai yang rata-rata mendoakan kesihatan penyanyi tersebut. Namun tidak lama kemudian, Jaejoong didapati telah menukar semula coretan beliau di Instagram dengan mengaku semua perkara itu tidak benar.

Menerusi hantaran tersebut, Jaejoong mengaku yang gurauan itu hanyalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai yang masih lagi berdegil dan keluar dari rumah seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Penyanyi itu bersedia menerima segala kecaman yang dilemparkan terhadapnya di atas usahanya untuk memberi kesedaran ini.

Sejurus sahaja perkara itu diketahui oleh orang ramai, Jaejoong telah menerima kecaman yang hebat daripada warganet yang rata-ratanya kecewa dengan tindakan pelakon Protect the Boss itu.

Apa-apa pun, jenaka seperti ini tidak seharusnya digunakan lebih-lebih lagi jika individu tersebut mempunyai pengaruh yang kuat dan peminat yang ramai. Selain mencetuskan panik, ia juga boleh menyusahkan pihak media yang terpaksa membetulkan fakta untuk sebarkan kepada orang ramai.

Diharapkan selepas ini selebriti yang lain lebih sensitif dan menggunakan cara yang lain untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat.

Untuk membaca artikel lain berkenaan selebriti Korea, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca