Tips Penjagaan Rambut Panjang Bagi Lelaki Sepanjang Tempoh PKP

Seperti yang kita sedia maklum, Perintah Kawalan Pergerakan kini dilanjutkan lagi sehingga 28 April 2020. Ini bermakna sejak 18 Mac yang lalu, sudah lebih sebulan rakyat Malaysia berada di dalam rumah demi menjayakan misi negara untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Dalam ucapan Perdana Menteri ketika mengumumkan lanjutan tersebut, beliau turut memberitahu bahawa beberapa industri dan perniagaan akan dibenarkan beroperasi semula. Salah satunya adalah kedai gunting rambut.

Walau bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam telah menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan kedai gunting rambut untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Bagi kebanyakan lelaki, tempoh tiga minggu atau sebulan tidak memotong rambut merupakan satu masalah bagi mereka.

Namun, mungkin ini adalah masa yang sesuai buat para lelaki untuk menyimpan rambut panjang mengurai. Menyimpan rambut panjang merupakan sesuatu yang sangat mencabar dan terdapat beberapa cara untuk menjaga rambut agar kelihatan sihat dan segar.

Berikut kami kongsikan kepada anda tips penjagaan rambut panjang khusus buat para lelaki!

1. Membasuh rambut dengan baik dan betul

Membasuh rambut dengan baik dan betul merupakan salah satu langkah untuk memastikan rambut anda kekal sihat. Bagi yang sudah berumah tangga, tempoh PKP ini merupakan masa yang paling sesuai untuk anda bermanja dengan isteri. Anda boleh mengambil peluang ini dengan meminta pertolongan isteri untuk membasuh rambut anda.

Bagi yang bersendirian di rumah, anda boleh melakukannya sendiri. Cara yang betul untuk membasuh rambut adalah dengan membilas keseluruhan rambut dengan air yang sedikit suam. Ini dapat membuka liang-liang pori yang tersumbat serta membebaskan segala jenis kotoran pada kulit kepala.

Gunakan syampu dan perapi rambut yang sesuai dengan rambut anda. Lakukan urutan lembut menggunakan jari pada kulit kepala. Akhir sekali, bilas dengan air sejuk agar pori kembali tertutup.

Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk tidak mencuci rambut dengan terlalu kerap. Hal ini akan menyebabkan kulit kepala berminyak.

2. Kurangkan penggunaan alat pengering rambut

Penggunaan pengering rambut elektrik juga merupakan punca utama rambut panjang cepat rosak. Haba yang tinggi digunakan di atas rambut akan menyebabkan rambut anda menjadi rapuh dan mudah putus dalam jangka masa yang panjang.

Dalam tempoh PKP ini, anda tidak perlu tergesa-gesa untuk mengeringkan rambut. Sebaliknya, biarkan rambut anda kering secara semula jadi dan lap dengan perlahan.

3. Elakkan mengikat rambut terlalu ketat

Mengikat rambut dengan kuat akan menyebabkan masalah traction alopecia iaitu kehilangan rambut akibat tertarik akar rambut tanpa sedar. Untuk mengelakkan rambut tercabut atau putus, ikatlah rambut anda dengan longgar.

4. Elakkan menggosok rambut basah dengan tuala

Rambut yang basah lebih terdedah kepada kerosakan. Oleh itu, jangan menggosok rambut anda dengan tuala secara kuat kerana ianya akan merosakkan rambut. Sebaliknya anda hanya perlu menekap rambut yang basah secara perlahan-lahan bagi mengelakkan tekanan pada kulit kepala.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua!

Sebelum ini, kami ada kongsikan tips yang hampir sama seperti di atas. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca