Tips Bekerja Dari Rumah Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

Secara umumnya, bekerja dari rumah mempunyai banyak kelebihan seperti masa yang fleksibel, persekitaran ruang tempat kerja yang tenang dan tidak perlu terlibat dalam kesesakan lalu lintas.

Namun, sudah pasti ada sesetengah orang berasa tidak selesa bekerja di rumah. Walau bagaimanapun mereka terpaksa akur dengan arahah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan sejak 18 Mac lalu berikutan penularan wabak COVID-19.

Oleh itu, kami kongsikan kepada anda tips bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)!

1. Aturkan rutin bekerja

Jika anda sudah terbiasa bangun pada waktu 7 pagi untuk bersiap ke tempat kerja atau anda perlu minum kopi sebelum mula bekerja, teruskan rutin ini.

Anggaplah anda akan ke pejabat agar anda boleh bersedia dari sudut mental untuk bekerja dari rumah. Kekal berdisiplin dari segi waktu bekerja, atau anda akan jadi tidak produktif dan malas untuk bekerja.

Walaupun anda bekerja dari rumah, ini tidak bermakna anda perlu memakai baju tidur sepanjang hari. Sekurang-kurangnya pakailah pakaian yang selesa, agar lebih bersemangat untuk memulakan hari yang baru. Sekiranya majikan anda ingin mengadakan mesyuarat secara panggilan video, pastikan anda berpakaian sopan.

2. Rancang hari bekerja anda

Sediakan senarai semak harian anda terlebih dahulu untuk merangsang produktiviti dan supaya anda mematuhinya. Rancang waktu kerja berdasarkan masa anda yang paling produktif, sama ada awal pagi atau lewat petang dan selesaikan kerja anda dalam tempoh masa tersebut.

Manakala anda boleh menyiapkan kerja-kerja logistik pada waktu anda kurang produktif.

3. Siapkan ruang khas untuk bekerja

Sediakan satu tempat di rumah anda khas untuk bekerja. Ini mungkin kelihatan seperti tidak penting, tetapi tanpa ruang kerja yang selesa, anda mungkin akan mencampur adukkan kerja dan urusan rumah. Hal ini akan menyebabkan anda stres. Apabila tamat waktu bekerja, berhenti bekerja dan tinggalkan ruang itu.

Jika anda mempunyai anak kecil di rumah, terangkan pada mereka tentang perubahan ini. Mereka perlu tahu untuk tidak membuat bising ketika anda berada di ruang kerja anda, dan hanya datang mendapatkan anda jika terdapat kecemasan.

4. Sentiasa berhubung dan mematuhi masa kerja

Majikan perlu tahu bahawa mereka boleh mempercayai anda walaupun mereka tidak dapat melihat anda bekerja. Bekerja dari rumah merupakan peluang untuk membuktikan kepada majikan yang anda cekap membuat kerja.

Sebenarnya, anda mungkin mulai suka dengan panggilan video dengan rakan-rakan sekerja apabila bekerja dari rumah. Bukan saja lebih cepat untuk membincangkan hal kerja berbanding emel, malah inilah peluang untuk anda mempunyai interaksi dengan orang lain selain pasangan dan anak-anak.

5. Ambil masa untuk rehat

Jangan lupa untuk pergi ke tandas atau berjalan di dalam rumah untuk melancarkan peredaran darah. Anda juga boleh berehat sambil makan snek. Anda disyorkan untuk berdiri dan meregangkan badan setiap jam. Kekalkan kewarasan anda dan jangan duduk di hadapan komputer terlalu lama.

6. Tetapkan peraturan untuk kanak-kanak

Bagi yang mempunyai anak-anak kecil di rumah, anda tidak sepatutnya diganggu terutamanya apabila sedang menjawab panggilan. Rancang aktiviti untuk anak-anak agar mereka tidak bosan apabila anda sibuk. Inilah waktunya untuk anda menunjukkan pada mereka nilai usaha dan kerja keras.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.

Untuk membaca lebih banyak artikel yang berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca