Tinggal Terlebih Masa Di Malaysia, Spider-Man Akhirnya Tewas Dicekup Imigresen

Tindakan seorang warga Bangladesh yang cuba menyembunyikan identitinya bagi meraih pendapatan dengan memakai kostum adiwira Spider-Man akhirnya memakan diri sendiri apabila dia dicekup Jabatan Imigresen Melaka.

Menurut Mohd Fauzi Abdullah yang merupakan Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.20 petang Ahad setelah sepasukan tujuh penguatkuasa menunggunya di beberapa lokasi sasaran. Suspek dipercayai memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial.

Setelah hampir lima jam, ‘Spider-Man’ itu akhirnya memunculkan diri sewaktu sedang asyik menunggu pelanggan.

“Lelaki warga Bangladesh ini kita dapati memakai kostum Spider-Man dan mengenakan bayaran RM5 bagi setiap pelanggan yang ingin bergambar dan menyasarkan kanak-kanak dan pelancong, kata Mohd Fauzi.

“Suspek turut menjual permainan kanak-kanak dan mempunyai pembantu iaitu seorang wanita berusia lewat 40-an bersama anak perempuannya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, lelaki tersebut ditahan atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di samping turut memiliki salinan dokumen palsu.

Berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai sebelum ini, lelaki berkenaan mula menjadi adiwira itu sejak lebih tiga bulan lalu dan mempunyai majikan sebelum bergerak sendiri.

“Lelaki itu juga sentiasa berpindah lokasi di sekitar Bandar Hilir dan tidak akan berada lama di satu-satu tempat bagi mengelakkan kegiatannya dihidu.”

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 iaitu tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” tambahnya.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca