Tinggal Di Langkawi Secara Haram, Ahli Teori Konspirasi Ini Diusir Dari Malaysia

Rémy Daillet-Wiedemann kini telah diusir dari Malaysia selepas ahli teori konspirasi Perancis berusia 55 tahun itu didapati menyalahgunakan visa untuk tinggal secara haram di Langkawi selama bertahun-tahun lamanya.

Rémy dan keluarga dipercayai sudah menetap di Langkawi sejak 2015 lagi walaupun visa mereka telah tamat tempoh. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman iaitu Datuk Dev Kumar mengesahkan penangkapan Rémy dan keluarga dengan berkata, “Mereka ditahan kerana memiliki visa perjalanan yang telah tamat tempoh.”

Dev turut menjelaskan bahawa penahanan ahli teori konspirasi ini tidak ada apa-apa kaitan dengan waran yang dikeluarkan oleh Perancis berdasarkan laporan CNA.

Memetik laporan BBC, Rémy dikehendaki oleh pihak berkuasa Perancis kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan kes penculikan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun bernama Mia Montemaggi dari rumah neneknya di Vosges yang terletak dekat wilayah Grand Est pada April lalu.

Sumber: The Vibes

Kes penculikan itu berlaku apabila Mia yang tinggal bersama neneknya di timur Perancis itu telah hilang dan kemudiannya ditemui bersama ibunya di Switzerland. Hasil siasatan polis mendapati Rémy telah membantu penculikan gadis berkenaan.

Dalam pada itu, seorang pegawai Perancis memberitahu Agence France-Presse (AFP) pada Ahad lalu bahawa Rémykini akan dihantar pulang oleh pihak imigresen Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, Rémy pernah menjadi ahli politik yang mewakili Gerakan Demokratik pada tahun 2000-an. Selepas dibuang daripada parti terbabit, lelaki berusia 55 tahun itu kemudiannya menjadi terkenal dengan gerakan konspirasi yang menuntut coup d’état (rampasan kuasa).

“Saya telah memutuskan untuk mengambil alih kuasa di Perancis. Saya akan memulihkan negara ini dan memberi anda kebebasan,” ujarnya dalam video YouTube yang diterbitkan tahun lalu.

Manifesto yang berkait dengan salah satu video beliau juga berulang kali menyokong teori konspirasi bahawa 5G dan pelitup muka adalah berbahaya untuk manusia.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca