Pengarah Mamat Khalid menyesali tindakan segelintir artis yang selama ini suka berkongsi gaya hidup mewah serta barangan berjenama di media sosial sehingga menjadi pertikaian warganet sewaktu krisis COVID-19.

Beliau berkata, tindakan sebegitu hanya akan memakan diri mereka sendiri. Tambahan pula pada era ini orang ramai hanya memberi perhatian terhadap perkongsian mereka dan bukan semua menyukainya.
“Yang awak pun satu tayang semuanya di media sosial dengan ungkapan bukan riak sekadar berkongsi. Kongsi apa? Boleh mereka pinjam kereta yang hadiah pada emak itukah? Buat amal pun digalakkan berahsia, inikan pula kerja-kerja membeli kasut atau barangan mewah.
“Sekarang kita sudah sedar, kita yang hendak orang perhatikan gaya hidup kita dan bukan semuanya menerima gaya awak itu. Malah menimbulkan lagi rasa gusar yang terpendam. Sekali peluang terbit, terbenamlah awak dengan hakikat rasa resah hati mereka yang berbisa,” tulisnya di Instagram.
View this post on InstagramA post shared by Mamat Khalid (@khalidmamat) on
Nasihat itu ditulis oleh Mamat selepas kecoh apabila beberapa artis popular mengusulkan mengenai bantuan khas kepada penggiat seni yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati warganet.
Dalam pada itu, pengarah terbabit bagaimanapun turut bersimpati kepada beberapa artis yang menjadi mangsa kecaman dan berharap mereka mengambil pelajaran daripadanya.
“Kasihan abang tengok adik-adik kena kecam bagai nak kiamat sebab menyuarakan tolong bantu pada yang tidak upaya melawan kekangan waktu-waktu darurat sekarang. Niat baik disalah ertikan. Hanya kerana tidak mahu membaca penuh sesuatu artikel.
“Kehidupan awak yang diriuhkan pula! Apa yang dipelajari adalah betapa pendamnya kesumat manusia menyimpan hasad menebal dengan kejayaan awak.”
Kongsinya lagi, “komen mereka memang membuat kita sedar siapa diri mereka sebenarnya. Awak memang bukan siapa-siapa dalam kehidupan mereka. Tidak kenal, tidak lawak, suara sumbang, dan sampai ada yang mengaku tidak pernah tengok rancangan awak sebab lebih peka pada siaran obersi (luar negara).”
Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan artis tempatan, sila klik pada pautan di bawah: