TikTok Disaman Oleh Seorang Ibu, Akibat ‘Blackout Challenge’ Menjadi Punca Anak Meninggal Dunia

Seorang ibu dari Pennsylvania bertindak untuk menyaman TikTok dan syarikat induknya, ByteDance, atas tuduhan mengesyorkan ‘Blackout Challenge’ kepada anak perempuannya.

Nylah Anderson, 10 tahun, disahkan meninggal dunia selepas menyertai cabaran yang membahayakan itu.

Ibu kepada mangsa yang bernama Tawainna Anderson berkata Nylah melakukan ‘Blackout Challenge’ setelah kandungan tersebut keluar pada laman ‘For You’ atau lebih dikenali sebagai FYP pada bulan Disember.

‘Blackout Challenge’ ialah satu cabaran untuk mencekik diri sendiri dengan menggunakan barangan di rumah sehingga pengsan.

Setelah sedar, pengguna TikTok biasanya akan berkongsi video tentang seluruh proses dan pengalaman mereka dengan pengguna TikTok yang lain.

Menurut laporan, Tawainna telah menjumpai anaknya dalam keadaan tidak sedar di biliknya pada 7 Disember lalu segera membawa Nylah ke hospital.

Nylah kemudian disahkan meninggal dunia lima hari selepas kejadian.

Dalam dokumen mahkamah, algoritma TikTok menentukan bahawa cabaran yang membawa padah itu disesuaikan dengan baik dan berkemungkinan serasi dengan ‘kesukaan’ Nylah.

Oleh kerana itu, TikTok dan juga ByteDance dituduh menjadi punca kematian Nylah.

Selain itu, cabaran tersebut dilaporkan telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 4 kematian lain namun TikTok tidak memperbetulkan algoritma untuk mengelakkan pengguna dari terdedah lagi dengan cabaran tersebut.

Menurut jurucakap TikTok pula, pengguna TikTok bukannya mula mengetahui tentang ‘Blackout Challenge’ dari aplikasi itu tetapi sebenarnya dari sumber yang lain.

Namun demikian, analisis forensik mengatakan bahawa telefon yang digunakan oleh Nylah menunjukkan Nylah menggunakan TikTok untuk melakukan cabaran itu.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca