“Tiket Pergi Balik Sarawak Semua Dah Tempah,” UiTM Tangguh Istiadat Konvokesyen, Ini Reaksi Daripada Para Graduan

Universiti Teknologi MARA (UiTM) semalam menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Istiadat Konvokesyen ke-92 yang dijadualkan bermula 24 Mac ini terpaksa ditangguhkan. Naib Canselor UiTM iaitu Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd Azraai Kassim mengatakan bahawa keputusan itu diambil setelah mengambil kira laporan penularan wabak COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada Rabu.

Difahamkan, penangguhan tersebut membabitkan istiadat konvokesyen di kampus Shah Alam serta semua kampus cawangannya.

“Penularan wabak COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia menyebabkan WHO mengisytiharkan ia sebagai pandemik justeru, pengurusan UiTM perlu mengambil tindakan pencegahan dan proaktif demi kesihatan dan keselamatan seluruh warga UiTM dan masyarakat amnya,” kata Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd Azraai Kassim.

“Selepas mengambil kira nasihat daripada KKM serta Mesyuarat Khas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-92, pihak Pengurusan Eksekutif UiTM membuat keputusan untuk menangguhkan Istiadat Konvokesyen UiTM ke – 92 di kampus Shah Alam serta semua kampus cawangan,” jelas beliau.

Menerusi kenyataan yang sama, beliau memaklumkan bahawa tarikh baharu untuk istiadat berkenaan akan dimaklumkan kelak.

Beliau berkata, segala kesulitan dan perkara bersangkutan yang berbangkit adalah amat dikesali. Tambah beliau lagi, pengurusan UiTM juga amat menghargai kefahaman, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam hal ini.

“Bersamalah kita berdoa dan mengharapkan wabak ini dapat ditangani segera dan keadaan kembali pulih sepenuhnya,” kata beliau.

Dalam pada itu, team Lejen Digital sempat menemu bual beberapa orang graduan berhubung perkara ini.

Hani Aziz, graduan jurusan Komunikasi Massa di UiTM Shah Alam.

Salah seorang graduan jurusan Komunikasi Massa iaitu Hani Aziz mengatakan bahawa dia sudah semestinya sedih apabila mendapat tahu tentang penangguhan ini memandangkan segala persiapan termasuklah permohonan cuti kerja sudah pun dibuat. Namun begitu, dia tetap terima keputusan ini dengan hati terbuka kerana dia percaya, pihak UiTM mengambil langkah tersebut demi keselamatan semua.

“Sedih memang sedih sebab segala persiapan sudah dibuat. Tapi, saya percaya langkah yang UiTM ambil ini adalah yang terbaik untuk semua pihak,” kata Hani Aziz.

Qaisara Afiqah (kiri), graduan jurusan Komunikasi Massa di UiTM Shah Alam.

Seorang lagi graduan yang dikenali sebagai Qaisara Afiqah turut menyatakan rasa kecewa selepas mendapat tahu tentang penangguhan tersebut. Katanya yang juga merupakan graduan jurusan Komunikasi Massa itu, seluruh ahli keluarganya sudah pun menempah tiket penerbangan dan hotel.

“Saya reda dengan keputusan ini tetapi sedikit kecewa memandangkan tiket penerbangan dan hotel semuanya sudah ditempah kerana keluarga datang jauh dari Terengganu,” luah Qaisara Afiqah.

Annis Hafifah, graduan jurusan Kejuruteraan Mekanikal di UiTM Shah Alam.

Bagi Annis Hafifah yang merupakan graduan jurusan Kejuruteraan Mekanikal pula, dia lega dengan keputusan universiti untuk menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke-92 kerana bimbang dengan penularan wabak COVID-19. Namun begitu, dia sedikit kesal kerana pihak UiTM lambat memaklumkan perkara itu.

“Saya lega sebenarnya apabila mendapat tahu tentang penangguhan konvokesyen tetapi pada masa yang sama, saya kesal sebab UiTM lambat beritahu. Kesian apabila fikir mereka yang datang dari jauh dan sudah tempah tiket serta hotel,” kata Annis Hafifah.

Najwa Rosdi, graduan jurusan Kejuruteraan Kimia di UiTM Shah Alam.

Seorang graduan jurusan Kejuruteraan Kimia iaitu Najwa Rosdi meluahkan rasa kecewa terutamanya apabila dia dan rakan-rakan telah pun menempah khidmat jurugambar untuk sesi pra-konvo.

“Saya dan rakan-rakan dah siap tempah jurugambar sebab kalau ikutkan, jubah konvokesyen boleh diambil pada hari Sabtu (esok),” kata Najwa Rosdi.

Graduan yang hanya mahu dikenali sebagai Aiman pula turut meluahkan rasa kecewa dan sedih kerana keluarganya dari Sarawak sudah menghabiskan ribuan ringgit menempah tiket penerbangan dan juga bilik hotel.

“Saya tak terkata apa selepas dapat tahu perkara tersebut. Serba salah nak beritahu kepada keluarga sebab semua sudah beli tiket penerbangan dan tempah bilik hotel,” kata Aiman.

Apa-apa pun, diharapkan agar wabak COVID-19 ini dapat ditangani dengan segera dan para graduan UiTM boleh menerima keputusan ini dengan hati terbuka demi kebaikan semua.

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca