Tiket Dijual Bermula 16 Mei, Coldplay Umum Tarikh Konsert Di Malaysia

Kumpulan rock ternama dari United Kingdom iaitu Coldplay akhirnya mengumumkan bahawa mereka bakal datang menemui para peminat di Malaysia pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Live Nation Malaysia selaku penganjur konsert berkata, “Anda semua telah menantikan saat ini. Untuk pertama kalinya, Coldplay akan datang ke Malaysia!”

Sumber: Twitter @livenationmy

Konsert itu akan menjadi sebahagian daripada siri jelajah Music of the Spheres World Tour. Coldplay mengumumkan menerusi Instagram tarikh-tarikh jelajah dan lokasi-lokasi lain konsert mereka.

Selain Kuala Lumpur, Coldplay akan menemui para peminat di Jepun (Tokyo), Taiwan (Kaohsiung), Indonesia (Jakarta) dan Australia (Perth) pada bulan November ini.

Dianggotai Chris Martin, Will Champion, Jonny Buckland dan Guy Berryman, kumpulan ini terkenal dengan pelbagai lagu seperti Fix You, Viva la Vida, Yellow, The Scientist dan My Universe.

Tiket-tiket rasmi untuk menonton konsert Coldplay di Malaysia akan dibuka kepada orang ramai pada 17 Mei (Rabu) ini dari 10 pagi sehingga tiket habis dijual.

Sumber: Instagram @coldplay

Pemegang kad CIMB Bank bagaimanapun akan dapat akses eksklusif tiket pra-jualan di sini pada 16 Mei (Selasa) seawal jam 10 pagi sehingga 11.59 malam.

Dalam pada itu, Live Nation Malaysia turut mengingatkan orang ramai untuk tidak membeli tiket di platform tidak sah ataupun laman sesawang pihak ketiga.

Anda boleh layari laman sesawang Live Nation Malaysia untuk maklumat lanjut.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca